MODEL CHEROK TO KUN.










 Memulakan hari ini dengan mengadakan pertemuan bersama pimpinan masyarakat, jawatankuasa masjid dan wakil-wakil persatuan dari kawasan Cherok Tok Kun, Pulau Pinang pagi tadi.


Pertemuan sekitar satu jam ini tidak sekadar menyentuh soal pembangunan di Cherok Tok Kun, malah saya turut bentangkan perancangan bagi menangani masalah dihadapi setiap penduduk di kampung ini menerusi ‘Model Cherok Tok Kun’.


Menerusi projek perintis ini, saya akan memantau secara langsung masalah dan keperluan rakyat di Cherok Tok Kun, sama ada isu kemiskinan, pengangguran, kos sara hidup, kesihatan, pendidikan, jenayah mahupun infrastruktur seperti baik pulih dan pembinaan masjid.


Rakyat Cherok Tok Kun perlu berbincang dan laporkan semua masalah ini secara terus kepada saya, dan Insya-Allah saya akan bantu menyelaras bantuan dan peruntukan Kerajaan, sekali gus menyelesaikan isu-isu berbangkit.


Sekiranya projek ini berjaya menangani isu di Cherok Tok Kun, saya akan perluaskan dengan mewajibkan semua menteri, timbalan menteri, pimpinan kanan kerajaan serta ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turut melaksanakan Model Cherok Tok Kun di kampung halaman masing-masing.


Insya-Allah perihal projek ini akan saya bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.


Saya memilih pendekatan ini kerana mahu semua pimpinan Kerajaan memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah rakyat. Tiada guna bicara soal ekonomi dan pelaburan berbilion ringgit jika masalah-masalah harian rakyat tidak mampu kita tangani.


Semoga Model Cherok Tok Kun yang meletakkan tanggungjawab serta amanah membantu rakyat kepada pemimpin, akan merintis jalan penyelesaian tuntas terhadap isu-isu yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.


#MalaysiaMADANI



No comments: