Orang agama yang tak popular


Nik Hasyudeen


Semasa menghadiri kenduri sahabat Wattop saya, saya duduk di sebelah seorang lagi sahabat Wattop yang ditemani isterinya. Setelah berbual-bual sekian lama, saya tanyakan beliau berkenaan hubungannya dengan seorang agamawan yang kembali kepada Islam puluhan tahun yang lalu.


Maka kawan saya menceritakan hubungan beliau dengan agamawan berkenaan yang bermula di ketika dia mula-mula Islam. Malah pernikahan agamawan berkenaan juga dibantu oleh keluarga kawan saya. Sekarang agamawan ini berdakwah di dalam dan luar negara kerana dia fasih berbahasa Inggeris. Siapa kata bahasa Inggeris tak ada faedah dalam agama?


Rupa-rupanya keluarga mereka mempunyai hubungan dengan pelbagai agamawan lain yang berdakwah dengan mengajak manusia untuk beriman dan beribadah seperti mana yang didakwahkan oleh Rasulullah SAW.


Kemudian saya sebut nama seorang agamawan lain yang saya minat kuliah-kuliahnya. Jika dia bincang berjenaan sayu ayat Al Quran, boleh sampai satu atau dua jam dengan pelbagai rujukan silang kepada ayat-ayat yang lain dan hadith-hadith sahih. Sahabat Wattop saya juga rapat dengan agamawan itu. Dia tunjukkan kepada saya foto dia dan keluarganya beraya dengan agamawan demikian.


Saya dan sahabat saya bersetuju bahawa agamawan yang saya sebut itu adalah di antara orang yang paling di”underrated” di dalam masyarakat. Walaupun ilmunya tinggi dan perbincangannya bukan sahaja mendalam tetapi berasaskan hujah-hujah yang kukuh dan perspektif yang luas dan luar kotak, dia dilayan seperti “orang-orang biasa” sahaja.


Yang menariknya agamawan ini juga tidak memperdulikan sikap orang lain ke atasnya. Dia juga tidak melabelkan dirinya dengan mana-mana jenama. Dia hanya mengajar pelbagai ilmu dengan amat mendalam seperti biasa dari saya mula mengenalinya sehingga hari ini.


Mengenali orang-orang yang mengajar agama yang tak popular ini menambah keyakinan saya bahawa populariti bukannya hujah di dalam agama, tubuh badan bukannya hujah di dalam agama. Apa yang bernilai ialah apa yang Allah kata dan apa yang Nabi kata serta pandangan-pandangan yang berbalik kepada kedua-dua sumber itu. 


Seseorang yang dikatakan “mewarisi” hanya boleh memperpanjangkan apa yang dia terima, tak boleh tambah perencah yang tak ada kena mengena dengan warisan itu, walaupun itulah yang orang ramai nak dengar dan akan mempopularkan.


Saya lebih selesa dengan agamawan yang di “underrated” tetapi mewariskan apa yang dia warisi dengan jujur dan ikhlas. Itu lebih selamat, pada pandangan saya.



No comments: