MYDIGITAL ID PASTIKAN TRANSAKSI ATAS TALIAN LEBIH SELAMAT

 

Melalui pengesahan diri yang tepat, transaksi atas talian yang selamat dan kemudahan log masuk tunggal dan MyDigital ID mampu mengurangkan risiko penipuan dan memudahkan urusan harian berkaitan perkhidmatan dalam talian.

Hal itu dinyatakan oleh MIMOS. Dalam infografiknya MIMOS menyatakan MyDigital ID tidak akan menggantikan MyKad sebagai bukti pengenalan.

Ia juga tidak menyimpan data biometrik pengguna seperti cap jari, iris/mata atau pengecaman wajah sebagaimana yang didakwa di media sosial. MyDigital ID juga tidak mengawal data dan pergerakan pengguna secara digital atau mendedahkan data peribadi secara terbuka dan meluas.

Kata MIMOS lagi, seseorang itu tidak boleh mempunyai lebih dari satu identiti digital dan tidak menyimpan pangkalan data peribadi pengguna.

Justeru itu, kaedah digital itu merupakan satu langkah maju bagi memastikan keselesaan dalam menggunakan perkhidmatan dalam talian tanpa mengorbankan privasi.

“MyDigital ID merupakan inisiatif yang akan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien di Malaysia seperti pengagihan subsidi bersasar dan peningkatan akses ke sistem perubatan MADANI.

“Melalui identifikasi digital, transaksi seperti pembahagian bantuan menjadi lebih mudah dan telus serta memastikan hanya individu yang layak dapat menerima manfaat,” kata agensi berkenaan lagi.



No comments: