SETAHUN PMX: POLITIK, EKONOMI MALAYSIA CEMERLANG





Ketokohannya Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Kerajaan Persekutuan dalam tempoh setahun telah melakar landskap politik baharu dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada prinsip demokrasi.

Bagi Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, di sebalik kritikan dan cercaan pembangkang kepada sosok Anwar, Pengerusi Pakatan Harapan itu terbukti telah berhasil mengamankan percaturan politik yang bejat sejak pasca Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang mana menyaksikan Malaysia dalam keadaan tidak stabil serta tidak mempunyai kepimpinan yang jelas.

Hal itu, katanya, amat berbeza dalam setahun pentadbiran PMX yang dihadapkan beberapa cubaan menjatuhkan kerajaan namun tidak sedikit pun mencalar imej beliau di mata rakyat atau mengurangkan keyakinan dunia ke atas Malaysia.

“Keupayaan PMX meyakinkan rakyat untuk bersama membina negara dapat kita saksikan apabila 19 parti politik dapat bersama membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Berbanding di era tahun 2020 hingga penghujung 2022, suhu politik dalam negara sangat membimbangkan rakyat dan para peniaga.

“Keupayaan Datuk Sri Anwar membawa dan membentuk Kerajaan dengan sokongan 2/3 sangat dihargai oleh rakyat semua lapisan,” katanya kepada Suara Keadilan.

Mengulas lanjut, Onn berkata, kebijaksanaan Ahli Parlimen Tambun itu didapati bukan sahaja telah menyakinkan blok parti dari Sabah dan Sarawak menyertai kerajaannya malah pentadbiran PMX juga berjaya menarik sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang yang satu demi satu menyatakan sokongan sejak bukan Oktober lalu.

“Terkini 5 lagi Ahli Parlimen pembangkang telah mengisytihar menyokong ke atas pimpinan PMX. Ahli Parlimen terkini yang menyokong adalah Bukit Gantang.

“Ia sekali gus membawa kestabilan dan meredakan suhu politik negara,” ujarnya.

Dari segi aspek ekonomi pula, wakil rakyat KEADILAN itu yakin keupayaan Anwar selaku Menteri Kewangan boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah yang gemilang.

Katanya, untuk menilai keupayaan sesebuah negara ia perlu melibatkan tiga pemboleh ubah utama, iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Kadar Inflasi dan Penganguran.

“Kerajaan berjaya mengurangkan defisit dari 5.6% pada 2022 dan kini pada Belanjawan 2024 ia berkurang kepada 4.3%.

“Selain itu, KDNK meningkat pada kadar yang positif sekitar 4 -4.5% pada tahun 2023.

“Laporan 3 sukuan pada tahun ini pula menunjukkan Malaysia mampu mencapai pertumbuhan yang mampan selari dengan unjuran tersebut. Pada tahun 2024 unjuran pertumbuhan KDNK adalah sekitar 6-7%,” katanya lagi.



 

No comments: