KPDN BANTU RAKYAT BELI BARANG MURAH DI MUSIM TENGKUJUH

 







Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan usaha untuk mengurangkan masalah rakyat mendapatkan bekalan makanan murah menghadapi musim tengkujuh monsun timur laut pada tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, program di negeri negeri terjejas dengan musim tengkujuh tersebut disertai oleh pasar raya besar bagi menyediakan barangan keperluan mencukupi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Jualan RAHMAH Negeri Pahang Tahun 2023 pada Sabtu.

“Program yang diadakan di Dataran Sayangi Kuantan ini dibuat dengan kerjasama strategik bersama Pasar Raya AEON Big Kuantan, Pasar Raya Jaya Gading, FAMA Pahang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, yang menawarkan sehingga 60 item barang keperluan harian yang terdiri daripada barangan kering dan basah yang ditawarkan dengan harga 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Program berlangsung selama dua hari bermula 2 hingga 3 Disember 2023 dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih lima ribu pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Fuziah, pada program jualan itu, harga ayam standard dengan anggaran berat 1.7 kilogram dijual pada RM10 seekor dan telur ayam gred B pula dijual pada harga RM10 sepapan berbanding harga siling RM12.90 sepapan

Katanya, antara barang-barang lain yang dijual dan ditawarkan adalah seperti telur ayam, minyak masak 2 kg dan 5 kg, tepung gandum, biskut, milo, bawang besar, susu pekat, bihun, maggi, sardin, kicap manis, cecair pencuci pinggan, sabun basuh baju, sos cili dan tomato, sayur-sayuran, ikan, buah-buahan dan lain-lain barangan keperluan asas.

“Sehingga 2 Disember 2023, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Pahang telah melaksanakan Program Jualan RAHMAH di sebanyak 376 lokasi di seluruh 14 parlimen dan 42 DUN di Negeri Pahang. Pecahan mengikut model iaitu di dalam premis sebanyak 190 lokasi, di luar premis sebanyak 30 lokasi dan secara bergerak sebanyak 156 lokasi,” kata Fuziah lagi.

Selain daripada itu, beliau turut mengadakan lawatan kerja ke syarikat pemborong Golden HP Agency di Bandar Indera Mahkota.

Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat kesiap siagaan syarikat Pemborong yang merupakan Pemegang Stok Mini Terpilih yang telah dilantik oleh KPDN bagi memastikan bekalan barang kawalan dan barangan keperluan pengguna mencukupi dalam menghadapi musim tengkujuh.

Syarikat pemborong terpilih telah diberi kebenaran untuk menambah had simpanan barang kawalan sebanyak lebih 30% dari had simpanan sedia ada yang dibenarkan di dalam lesen CSA sehingga berakhirnya musim tengkujuh.

Untuk rekod, Negeri Pahang telah melantik sebanyak 99 Pemegang Stok Mini Terpilih dari kalangan pemborong dan peruncit. KPDN Pahang juga telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kecil Bekalan dan Pusat Pemindahan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu menguruskan bekalan barang kawalan dan keperluan asas dalam menghadapi musim tengkujuh.


No comments: