BERI KEPADA SAMSURI, MUHYIDDIN PERLU BERUNDUR PENGERUSI PN

 




Kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kelmarin sewajarnya memberi lonjakan semangat kepada pemimpin Pas untuk mendesak pengunduran Muhyiddin Yassin dari kedudukan Pengerusi Perikatan Nasional.

Bagi Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, Muhyiddin seharusnya berjiwa besar dengan memberi laluan kepada Samsuri setelah beliau mengisytiharkan Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon Perdana Menteri PN sekiranya menang di PRK Kemaman.

“Kalau dah diumum sebagai calon PM, sewajarnya hari ini Muhyiddin Yassin berjiwa besar memberikan jawatan pengerusi PN itu kepada Samsuri.

“Saya rasa sewajarnya Samsuri menggalas tanggungjawab Pengerusi PN (lanjutan daripada calon PM). Dari 74 Ahli Parlimen PN B48 adalah Ahli Parlimen Pas, hanya 26 Ahli Parlimen dari Bersatu. Jadi sewajarnya Muhyiddin menyedari Bersatu menang pun menumpang kekuatan Pas. Wajar Pas diberi mandat, calon PM ambil alih Pengerusi PN,” katanya dalam siaran langsung Facebook malam tadi.

Bagaimanapun, Lokman berkata, beliau tidak menolak bahawa penyokong Pas akan tertipu sekali lagi sebagaimana mereka pernah diperbodoh oleh pemimpin Bersatu kononnya PN akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada selepas Hari Raya Aidilfitri, selepas pilihanraya 6 negeri dan terbaharu selepas bulan Oktober 2023.

“Namun percayalah Muhyiddin tidak akan menyerahkan kerusi Pengerusi PN. Apa yang dia buat sebelum PRK hanyalah menipu rakyat negeri Terengganu, khususnya di Kemaman.

“Saya rasa orang Pas akan kecewa sekali lagi. Mereka telah kecewa, janji nak tawan 6 negeri, gagal. Mereka ambil alih parlimen Pulai gagal, mereka yakin DUN Pelangai akan menang besar kerana majoriti orang Melayu, itu pun gagal,” katanya.

Mengulas kekalahan calon BN di Kemaman pula, Lokman berkata hal itu telah diduga kerana Pas memperalatkan agama untuk memastikan calon mereka beroleh kemenangan.

“Saya percaya 2/3 yang beri undi kepada Pas percaya masuk Pas ialah masuk Islam.

“Politik 3R dimainkan Pas juga memberi kesan kepada sokongan BN. Mereka menguar uar kononnya undi BN, undi kerjasama dengan DAP akan hancur orang Melayu dan Islam.

“Ramai terpedaya, khusus di pantai timur termakan benda ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, Lokman mengakui faktor pengundi BN yang tidak pulang mengundi mendorong kekalahan yang lebih buruk berbanding Pilihan Raya Umum 2022 lalu kerana seharusnya BN mendapat sekitar 37,000 undi bukan di bawah 28,000 undi.


No comments: