Walaupun belum ada pengumuman rasmi lagi sehingga ini, Isham Jalil sebenarnya sudah pun dipecat daripada UMNO.
Beliau dipecat dalam mesyuarat MT UMNO yang tidak dihadirinya pada malam semalam.
Selain beberapa ahli MT UMNO yang hadir dalam mesyuarat malam semalam telah mengesahkan pemecatan itu, penyingkiran Isham daripada Grup Whatsapp MT UMNO tambah mengukuhkan lagi perkara itu.
Jika tidak dipecat, kenapa beliau dikeluarkan daripada Grup Whatsapp berkenaan?
Isham, dilaporkan dipecat atas kesalahan, antaranya mendesak Ahmad Zahid, Presiden UMNO agar meletakkan jawatan, mencabarnya berdebat, mengeluarkan label “barua” DAP, menentang secara terbuka pendirian UMNO menyertai kerajaan perpaduan dan tidak hadir mesyuarat MT sebanyak empat kali.
Dengan dipecat daripada UMNO, Isham kini menuruti jejak nasib beberapa pemimpin yang menerima nasib sama sebelum ini seperti Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, Noh Omar dan beberapa yang lain.
Bermakna, terputus sudah hubungan bekas pegawqi khas Najib Razak itu dengan UMNO dan tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukannya untuk meneruskan perjuangan bersama parti tersebut.Nasib dan masa depan Isham kini terpulang kepada beliau membuat pilihan dan penentuannya.
Apakah yang terbaik patut dilakukannya?
Untuk meneruskan karier dan kerjaya kehidupan, Isham barangkali ada banyak pilihan di depannya, tetapi dalam konteks perjuangan masa depan, pilihan terbaik untuknya hanya satu – masuk Bersatu.
Dengan menyertai Bersatu, beliau bukan saja boleh meneruskan karier politiknya dengan lebih baik dan melakukan pelbagai serangan lagi terhadap Ahmad Zahid Hamidi, malah berjuang bersama parti itu mungkin amat bersesuaian dengan jiwanya.
Dalam waktu yang sama, berjuang bersama Bersatu yang merupakan parti gabungan PN juga bertepatan dengan pendiriannya yang menolak DAP sebagai rakan kongsi.
Berkaitan hal ini, Isham tidak harus berlengah lagi untuk mengisi borang keahlian Bersatu, ditambah beliau juga telah menetapkan pendirian tidak mahu merayu atas pemecatannya.
Masuklah Bersatu secepatnya dan mulakan langkah perjuangan daripada sekarang, maka harapan lebih terbentang untuk beliau dipilih sebagai calon dalam PRU16 akan datang.
Kalau pun PN tak menang dalam PRU16 akan datang, kalau bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sekali pun atas tiket PN, harapannya untuk bergelar YB amat cerah sekali.
Kalau PN menang pula, silap-silap boleh terus jadi menteri!! – ShahbudinHusin 07/12/2023.