Hilmi Malik
Oktober 9, 2023 13:41 MYT
Mohamad berkata, langkah itu mampu jimatkan perbelanjaan kerajaan yang sebelum ini menelan belanja lebih RM8 bilion. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kerajaan akan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan melalui modul berbeza berbanding sebelum ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, program berkenaan akan dijalankan di 13 kem Rejimen Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara.
Ujarnya, langkah itu juga antara lain bagi menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan berbanding sebelum ini yang menelan belanja lebih RM8 bilion.“Langkah ini mampu jimatkan perbelanjaan kerajaan dan dalam masa sama dia akan dapat situasi ketenteraan dan kepolisan itu dalam masa 45 hari 90 peratus modulnya untuk melatih mereka sebagai anggota tentera dan selebihnya tertumpu kepada latihan kewarganegaraan.
“Sebelum ini kerajaan membelanjakan lebih RM8 bilion bersamaan dengan perbelanjaan seorang pelatih sebanyak RM9,800... dan tumpuan jawatankuasa yang dilantik untuk menilai juga keberhasilan PLKN sebelum ini,” katanya ketika sidang media di Parlimen pada Isnin.
Tambahnya lagi, PLKN 3.0 akan melalui tiga fasa iaitu bermula di peringkat sekolah sehingga mereka mula diserap oleh kesemua agensi beruniform kerajaan.
"Selepas itu, mereka yang selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih dan diambil (dalam) apa yang disebut sebagai latihan fasa kedua. Ini lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan.
"Itu sebab, dia punya cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Rejimen Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pulapol yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Hassan juga turut mengalu-alukan penglibatan veteran tentera bagi menjadi jurulatih untuk membantu menampung keperluan kumpulan itu.