CERITA TUKAR KERAJAAN TERBUKTI SUDAH TAK JALAN
Sejak Mahiaddin Md Yasin gagal mengejar impian menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua, semua pilihan raya yang diadakan selepas PRU15 sentiasa dikaitkan dengan pertukaran kerajaan.
Ketika PRN enam negeri diadakan tidak lama selepas PRU15 berakhir, walaupun pilihan raya itu hanya melibatkan kerusi Dun dan tidak sama sekali terkait Parlimen, ia tetap dikaitkan dengan propaganda menukar kerajaan.
Digembar-gemburkan secara meluas bahawa kononnya jika tiga negeri tadbiran PH – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan – berjaya ditawan, ia didakwa akan menyebabkan kerajaan perpaduan di peringkat pusat yang dipimpin Anwar Ibrahim akan turut tumbang.
Meski ternampak tidak logik dan sukar diterima akal, tetapi sepanjang kempen PRN tersebut, itulah naratif yang paling banyak diperkatakan oleh para pendokong PN.
Syukur akhirnya, PH/BN berjaya mempertahankan tiga negerinya dan begitu juga dengan PN yang berjaya mengekalkan tiga negeri dikuasainya, maka cerita tukar kerajaan senyap dengan sendirinya.
Kemudian, apabila berlaku PRK di Pulai dan Simpang Jeram berikutan kematian Allahyarham Salahuddin Ayub, cerita tukar kerajaan sekali lagi dimainkan.
Kali ini, harapan untuk menembusi Johor dikaitkan dengan kemungkinan negeri itu jatuh ke tangan gelombang hijau pada PRU akan datang.
Bagi kerusi Parlimen Pulai pula, keghairahan PN mahu menawan kawasan itu kerana ia akan menyebabkan kerajaan perpaduan hilang majoriti dua pertiga, seterusnya didakwa akan meletakkan kedudukan Anwar tidak stabil serta memungkinkan kejatuhannya.
Syukur sekali lagi, Pulai dan Simpang Jeram turut tidak berjaya ditawan oleh PN.
Buat seketika selepas itu, cerita-cerita tukar kerajaan tersenyap dengan sendirinya.
Dalam kempen PRK Pelangai yang keputusannya kini sudah pun diketahui, ketika peringkat awal kempen diadakan lagi PN sudah mula menjaja cerita kejatuhan kerajaan negeri Pahang akan berlaku jika mereka berjaya memenangi kerusi itu.
Bahkan, Mahiaddin secara terbuka menyebut Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengangkat sumpah dalam waktu terdekat sebaik saja PRK Pelangai berakhir jika kemenangan diperolehi.
Dalam konteks Pahang, untuk PN menjadi kerajaan, ia sudah tentu memerlukan beberapa Adun BN kena melompat parti.
Bagi meteka yang arif dalam perkiraan untung rugi berpolitik, untuk Adun BN melompat menyertai PN pada ketika ini adalah suatu yang tampak. mustahil dan merugikan buat mereka kerana gabungan pimpinan Mahiaddin itu adalah pembangkang di peringkat pusat.
Lebih bermanfaat dan menguntungkan untuk mereka kekal bersama BN lantaran UMNO adalah kerajaan di peringkat negeri dan juga pusat.
Apa pun, dengan gagalnya PN menang di Pelangai, bererti sembang serta gormal untuk menukar langsung tidak jalan dan tidak melekat di hati pengundi.
Sembang dan gormal itu bahkan sudah tidak laku sejak PRN enam negeri lagi, kemudian di PRK Pulai dan Simpang Jeram serta yang terbaru di Pelangai.
Sudah tentu sebab utama kenapa ia tidak jalan ialah kerana PN ketika jadi kerajaan dan Mahiaddin menjsdi Perdana Menteri, ia terbukti sebuah kerajaan yang sangat gagal dan membuatkan ramai kecewa, kecuali yang berjaya hanyalah Program Jana Wibawa.
Lalu, apa agaknya modal yang akan dijana PN dalam PRK yang berikutnya nanti – yang terdekat di Kemaman dan dengar-dengarnya di Masjid Tanah pun hampir pasti bakal ada PRK juga selepas ini? – ShahbudinHusin 09/10/2023.