Komplot mahu menjatuhkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar
Ibrahim dengan pelbagai ugutan sebagaimana beliau dedahkan semalam dalam ucapan
di Masjid Jamek An-Nur, Kampung Guar Perahu, Permatang Pauh, Pulau Pinang tidak
selayaknya diterima oleh seorang PM yang jujur dan ikhlas memperjuangkan bangsa
dan negara.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, apakah dosa
besar yang dilakukan Anwar sehingga beliau diganggu gugat dan ahli politik
pembangkang mengaku beraliran Islam pula cuba mengambilalih kuasa secara pintu
belakang atau 'tebuk atap'
"Kenapa Anwar hendak dijatuhkan?
"Anwar hendak hapuskan rasuah. Apakah itu salah?" tanya
Hassan.
Malah beliau tertanya tanya apakah cadangan Anwar untuk
menghapuskan subsidi secara borong dan mensasarkan kepada golongan miskin dan
rakyat marhaen juga dianggap salah.
"Anwar hendak struktur semula subsidi supaya rakyat bawahan
dapat terus dibantu. Apakah itu juga salah?
"Kalau rakyat Melayu di Kedah, Terengganu dan Kelantan masih
miskin adakah Anwar juga yang salah?" tanyanya kepada Suara Keadilan.
Semalam, Anwar berkata beliau menerima pelbagai bentuk ugutan
daripada 'geng penyakau besar'.
Ugutan diterima selepas kerajaan pentadbirannya bertekad
menghapuskan rasuah dan menyelamatkan negara daripada tindakan individu yang
merompak kekayaan negara.
Bagaimanapun kata Anwar, beliau tidak gentar terhadap ugutan itu
malah bertekad untuk mempertahankan prinsip melawan rasuah dan salah guna
kuasa.
"Macam-macam ugutan saya terima, geng-geng kaya raya ini dah
berpakat. Saya tak ada masalah, itu kerja dia.
"Geng-geng penyakau besar berbilion-bilion berpakat sekarang
ini nak buat hidup Melayu...hang (kamu) buat lah, saya lawan tetap lawan untuk
pertahankan prinsip ini," katanya dalam ucapan ringkas di masjid selepas
kenduri korban dan solat Jumaat.