SELEPAS KONVENSYEN, PRN ENAM NEGERI ADALAH CABARAN SEBENAR BUAT KERAJAAN PERPADUAN



Petang ini akan berlangsung Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur.


Konvensyen julung kali yang melibatkan penyertaan wakil-wakil 19 parti politik yang sekarang ini membentuk kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim akan dhadiri lebih 4,000 perwakilan daripada seluruh negara.


Termasuk pemerhati, penyokong dan ahli biasa yang hadir, dijangkakan lebih 10 ribu orang akan membanjiri WTC sepanjang berlangsungnya konvensyen hari ini.


Sebelum itu, pagi ini pula berlangsung Konvensyen Pemuda dan Wanita Kerajaan Perpaduan, juga diadakan di WTC Kuala Lumpur.


Konvensyen ini merupakan himpunan pertama parti-parti yang berada dalam kerajaan sejak terbentuknya kerajaan perpaduan selepas PRU15 lalu.


Di sebalik sudah beberapa kali isu mahu menumbangkan kerajaan ditimbulkan oleh blok pembangkang, bahkan ia masih berterusan sehingga sekarang, konvensyen ini adalah penting untuk menyerlahkan hakikat bahawa kepimpinan Anwar masih lagi kukuh serta utuh.


Oleh kerana Ahli-Ahli Parlimen hanya terbahagi kepada dua blok – kerajaan berjumlah 148 dan pembangkang 74 – selagi jumlah Ahli Parlimen blok kerajaan tidak berjaya dikurangkan, ia bermakna blok pembangkang juga tidak berupaya menambah jumlah kekuatan mereka.


Sebab itu, konvensyen ini dengan sendirinya dapat menepis segala tanggapan tidak baik yang cuba ditimbulkan terhadap kerajaan.


Di waktu yang sama, konvensyen ini juga mustahak sebagai lonjakan semangat untuk PH/BN yang bakal bertarung dalam enam PRN tidak lama lagi.


Enam negeri itu, tiga daripadanya ditadbir PH dan tiga lagi ditadbir Pas, tetapi dalam PRN nanti akan menyaksikan pertembungan PH/BN berlawan dengan PN.


Mahu tidak mahu, selepas berkonvensyen yang menyerlahkan kesatuan dan kekuatan, PH/BN harus mampu menyerlahkan hasil yang memberangsangkan dalam enam PRN itu nanti.


PH/BN bukan saja mesti menang di tiga negeri yang sedia ditadbir PH sekarang – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – malah seharusnya juga berupaya menawan salah satu dari tiga negeri – Kelantan, Terengganu dan Kedah – yang kini ditadbir oleh Pas.


Apatah lagi Anwar dan kerajaan Malaysia Madaninya baru saja selesai mengadakan siri jamuan rumah terbuka di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang khabarnya menyaksikan sambutan yang cukup luar biasa, terutama daripada kalangan anak-anak muda.


Kalau misalnya hanya keputusan status quo yang berjaya dicapai dalam PRN nanti – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan kekal dimenangi PH/BN, manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah pula kekal ditadbir PN, bererti tiada peningkatan sokongan diraih bukan saja melalui konvensyen dan rumah terbuka yang diadakan, lebih daripada itu kerjasama PH dan BN juga boleh ditafsir hampir tidak memberi makna.


Makna kerjasama baru dalam kerajaan dan PH/BN ini hanya boleh dibanggakan, selain kemenangan kerusi DUN lebih meningkat berbanding PRU lalu, bahkan ada negeri yang ditadbir pembangkang yang berjaya ditawan.


Berita paling buruk tentunya jika tiada negeri PN dapat ditawan, sebaliknya negeri yang sedia dalam genggaman PH pula terlepas ke tangan lawan.


Dalam hal ini, tidak dinafikan, di antara tiga negeri ditadbir PH dan akan ditandingi PH/BN, yang paling diidamkan oleh PN untuk ditawan ialah Selangor.


Kalah di Selangor ibarat kalahlah PH/BN dan kerajaan perpaduan secara keseluruhannya serta akan memberi kemenangan moral yang menggairahkan untuk PN berdepan PRU16 akan datang.


Untuk itu, sementara konvensyen penting dan jamuan rumah terbuka juga penting, lebih penting daripada segala-galanya ialah kerjasama PH/BN mesti berupaya menjelmakan kemenangan yang membanggakan dalam enam PRN akan datang nanti.


Kalau tidak, di samping PRU16 adalah detik yang lebih mencemaskan buat Anwar untuk mengekalkan kuasanya, gegaran untuk menumbangkan kerajaan pasti juga berlaku sekerap bersin di waktu pagi. – ShahbudinHusin 14/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: