TAK SECARA LANGSUNG , MAHIADDIN MENGAKU TELAH MEMFITNAH ANWAR.

 

Dalam hujah balasnya kepada mahkamah berhubung saman fitnah yang dikemukakan Anwar Ibrahim terhadapnya, Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin berkata, kenyataannya berkaitan elaun RM15 juta adalah sebahagian daripada ucapan dalam kempen politik PRU15 lalu.

Anwar katanya, bukan saja tidak harus tersingung, malah sepatutnya menjawab pertanyaan yang dikemukakan dalam ceramah itu secara terbuka dan menafikannya sebagai palsu.

“Sebagai ketua kerajaan perpaduan dan pemimpin PH, Anwar tidak sepatutnya berasa tersinggung dengan kritikan dan pertanyaan yang sah ditimbulkan ke atasnya.

“Ia dibuat dalam ucapan politik ketika kempen PRU15 lalu.

“Beliau sepatutnya menjawab pertanyaan yang dikemukakan dalam ceramah itu secara terbuka dan menafikannya sebagai palsu,” demikian antara hujah pembelaan Mahiaddin yang dihantarnya kepada mahkamah sebagai menjawab saman Anwar terhadapnya.

Mahiaddin seterusnya mendakwa, kata-kata yang dilafazkannya semasa kempen politik menjelang PRU15 lalu tidak mempunyai sebarang unsur fitnah, selain melibatkan hal-hal untuk kepentingan awam.

Beliau juga mengakui tidak mengetahui kenyataan yang dibuatnya dalam acara politik di kawasan Parlimen Padang Serai pada Nov tahun lepas itu diterbitkan semula dalam aplikasi TikTok.

Katanya, beliau dia tidak mempunyai kawalan atau pengetahuan mengenai akaun TikTok yang memuat naik kenyataannya itu.

Pada 20 Disember lalu, Anwar telah memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu berkenaan selepas dia dituduh menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor ketika era Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar.

Peguam utama Anwar, Sankara Nair memberitahu, writ saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 7 Disember Anwar mengeluarkan surat tuntutan yang memberi Mahiaddin tempoh tiga hari untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung dakwaan di media sosial dan menarik balik video TikTok berkaitan.

Mahiaddin juga dituntut untuk membuat aku janji bertulis supaya tidak lagi mengulangi fitnahnya itu.

Pejabat Menteri Besar Selangor sudah mengeluarkan kenyataan dengan memberitahu Anwar hanya dibayar – secara simbolik – sebanyak RM1 setahun atas peranannya menjadi penasihat ekonomi negeri.

Berdasarkan hujah Mahiaddin kepada mahkamah itu, secara tidak langsung ia menunjukkan beliau mengakui telah membuat tuduhan tidak benar atau melakukan fitnah terhadap Anwar.

Cuma, beliau berhujah, kenyataannya itu dibuat dalam ucapan politik kepada kempen PRU15 sedang dilangsungkan.

Soalnya, sejak bila ucapan dalam ceramah politik jadi kebal daripada tindakan mahkamah?

Bukankah hanya ucapan di dalam Parlimen dan DUN saja yang tidak boleh diheret ke mahkamah?

Dengan itu, bukan saja Anwar harus meneruskan samannya terhadap Mahiaddin itu dan jangan sesekali menarik baliknya, bayang kemenangan juga boleh dikata sudah tergambar di depan mata.

Hujah Mahiaddin terlihat amat longgar dan untuk melepas diri semata-mata serta tidak langsung ada penafian.

Teruskan saman, ubat mujarab untuk fitnah hanyalah denda tinggi oleh mahkamah.

Lagi pun, kalau hujah Mahiaddin itu mahu diterima pakai, maka penuhlah ceramah politik dengan fitnah dan tuduhan-tuduhan tidak benar. – ShahbudinHusin 21/01/2023.


No comments: