INI BARU MENTERI YANG BENAR2 PRIHATIN TERHADAP PENGGUNA

 

Touch ‘n Go Malaysia (TNG) diarahkan untuk menyediakan laporan laporan berjadual kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Perkara itu dimaklumkan menterinya, Salahuddin Ayub yang berkata laporan berjadual itu perlu bagi membolehkan kementerian meneliti dan memantau perkhidmatan yang diberikan syarikat terbabit.

“Mereka (TNG) perlu berikan laporan terperinci kepada kita daripada semasa ke semasa, iaitu laporan berjadual.

“Ini kerana ia memerlukan penelitian dan pegawai serta pihak penguatkuasa akan sentiasa memantau perkara ini. Kemudian saya boleh maklumkan kepada rakyat tentang perkembangan yang diperolehi kerajaan dari pihak mereka ini,” kata Salahuddin kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika ditanya berkenaan pertemuan pihaknya dengan TNG hari ini.

Ia selepas Salahuddin memanggil TNG bagi memberi penjelasan susulan aduan ramai pihak berkenaan kad prabayar Visa TNG yang tidak boleh digunakan untuk membayar tol dan tambang pengangkutan awam.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata pihaknya juga memberikan satu tempoh masa untuk TNG memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada pelanggan mereka.

“Saya berikan satu tempoh masa untuk mereka pastikan perkhidmatan yang dijanjikan dapat benar-benar diberikan kepada pelanggan.

“(Namun) tempoh masanya bergantung (kepada keadaan semasa) dan kita kena lihat dulu apa perkembangan selepas Tahun Baru Cina ini dan kemudian pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pula,” katanya lagi.

Tambah Salahuddin, dia juga mahu TNG bertanggungjawab dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap aduan yang dibuat pengguna, antaranya berkenaan transaksi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk pembayaran tol.

“Banyak yang mempertikai mutu RFID. Saya sendiri pun berdasarkan pengalaman peribadi banyak kali terganggu dan walaupun memakan masa hanya beberapa minit atau saat tetapi ia mengganggu lalu lintas.

“Jadi, dia (TNG) mesti bertanggungjawab untuk memastikan penyelenggaraan. Jangan hanya kemuka produk tetapi berlakunya kesilapan (kemudiannya).

Error itu biasa dan saya faham semua sistem dekat dunia ini ada masalah tetapi ia masih berlaku dan apabila pengguna mahukan yang terbaik, maka ia menjadi isu kepada pihak berwajib,” katanya lagi.

Pengenalan kad Visa TNG itu sepatutnya memberi saluran baru kepada pengguna yang sejak sekian lama berdepan masalah dalam pembayaran tol sehingga menyebabkan kesesakan di lebuh raya.

Namun TNG sebelum ini dilaporkan mengesahkan kad prabayar Visa yang baru dikeluarkannya tidak boleh digunakan untuk perkara itu kerana masalah integrasi dengan kemudahan Visa Paywave NFC.

Ia hanya boleh digunakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan lain yang tidak berkaitan dan pengeluaran wang.

Selain itu, sistem RFID sentiasa mengundang kritikan ekoran masalah yang berlaku ketika pembayaran, antaranya ia sukar mengesan pelekat di kenderaan mereka sehingga menyebabkan kesesakan di lorong pembayaran.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/652377



No comments: