Menteri arah MPPK segera bentang laporan beban tugas guru




Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi arahan kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sesi 2023-2025 supaya menyediakan laporan sulung berhubung beban tugas dan kebajikan guru.

Fadhlina berkata, laporan itu perlu dikemukakan kepadanya sebelum pertengahan bulan depan.

"Sebagai tindakan segera dan arahan pertama, saya arahkan laporan sulung MPPK adalah untuk memberikan perhatian kepada teras yang sering saya tegaskan berkali-kali, iaitu hal berkaitan beban tugas dan kebajikan guru," kata Ketua Wanita KEADILAN itu.

Melalui hantaran sama, beliau memaklumkan bertemu Datuk Dr Amin Senin yang baharu dilantik Pengerusi MPPK bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit di samping berkaitan dengan isu pendidikan negara.

Merujuk kepada barisan MPPK baharu, katanya enam daripada sembilan ahli MPPK dipilih dalam kalangan mereka yang berlatarbelakangkan profesion keguruan, manakala pengerusinya pula dipilih dalam kalangan mantan Ketua Pengarah Pendidikan bagi memastikan nasihat yang dikemukakan pasukan itu kelak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan.

"Kriteria pemilihan kesemua ahli MPPK ini bukan berasaskan faktor bangsa tetapi atas dasar profesionalisme dan kepakaran tokoh-tokoh terbabit yang diperlukan ketika ini," katanya

Beliau sementara itu memaklumkan ahli majlis MPPK akan mewujudkan jawatankuasa melibatkan setiap komposisi kaum, masyarakat Orang Asli, golongan rentan seperti Orang Kurang Upaya, pemegang taruh pendidikan dan wakil pemimpin pelajar

No comments: