Anak Datuk Seri Najib
Razak, Nooryana Najwa bersama ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri
taklimat khas Presiden UMNO sebelum ini.
UMNO Bahagian Pekan mengesahkan
tiada nama anak Datuk Seri Najib Razak dihantar untuk dipilih sebagai calon kerusi
Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) depan.
Timbalan
Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly mengesahkan daripada lima
nama yang dihantar kepada pusat untuk memilih calon tiada nama anak bekas
Perdana Menteri bergelar banduan tersebut.
“Tidak
ada perancangan meletakkan anak Datuk Seri Najib untuk bertanding di Parlimen
Pekan jika beliau tidak layak bertanding,” katanya dipetik laporan Utusan.
Zamri
menjelaskan sebaliknya kerusi Pekan akan dipulangkan semula kepada Najib
selepas mendapat pengampunan.
“Sebaliknya, sesiapa yang
dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan
kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan,” katanya lagi.
Zamri
bagaimanapun enggan mendedahkan empat nama selain Najib yang menawarkan diri
bertanding di Pekan pada PRU-15 ini.
Namun,
Zamri memberitahu anak lelaki Najib, Datuk Mohd. Nizar dicalonkan tetapi di
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membabitkan Chini, Bebar, Peramu Jaya
dan Pulau Manis.
Mahkamah
Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda
RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta
milik SRC International Sdn. Bhd.