ZAHID HAMIDI KINI SUDAH JADI BEBAN KEPADA BN, LEBIH BAIK TIDAK BERTANDING LAGI

 

Susulan tularnya video ucapan Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung MIC yang menyebut kemenangan BN dalam PRU15 adalah penting untuk mengelakkan pemimpin-pemimpin gabungan itu daripada didakwa di mahkamah, ini bermakna satu lagi beban baru muncul berkaitan Pengerusi BN itu.

Ucapan beliau itu memberi gambaran kemenangan BN cuma untuk digunakan sebagai perisai bagi mengelakkan pendakwaan di mahkamah terhadap pemimpin-pemimpin yang bermasalah, bukan sama sekali untuk memperjuangkan masalah rakyat.

Bersandarkan ucapan Zahid Hamidi itu juga, manifesto BN kali ini sudah boleh difokuskan kepada satu agenda saja – menyelamatkan pemimpin-pemimpin kami yang pecah amanah dan suka makan rasuah daripada pendakwaan di mahkamah.

Jika sebelum ini Zahid Hamidi diketahui memang merupakan beban kepada BN kerana masih mempunyai 47 kes mahkamah yang sedang berjalan dan kemudian diikuti sikapnya yang berterusan menekan serta mendesak Perdana Menteri agar segera membubarkan Parlimen yang mana tindakan itu difahami lebih untuk menyelamatkan dirinya kerana dijangka keputusan kesnya akan diketahui sebelum tibanya tahun 2023, beban yang baru ini menjadikan BN sebenarnya lebih bermasalah lagi untuk meraih kemenangan.

Dengan reaksi netizen yang semuanya amat negatif terhadap kandungan ucapan beliau itu dan ia kini disebarkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial yang lain, yang nyata kebencian kepada BN bakal bertambah lagi.

Beberapa pemimpin UMNO yang ditanya reaksi mereka turut geleng kepala dengan intipati ucapan Zahid Hamidi yang ditafsir menggambarkan apa yang ada dalam hatinya.

Kata mereka, ucapan itu makin melemahkan BN dan menyediakan laluan lebih sukar untuk meraih kemenangan.

“Siapa yang mahu mengundi BN jika Pengerusi BN sendiri bercakap secara terang bahawa kemenangan dalam PRU15 adalah bagi mengelakkan mereka didakwa di mahkamah.

“Ini secara langsung memberi gambaran semua pemimpin utama BN yang beliau sebutkan namanya itu memang bermasalah dan ada kes perlanggaran undang-undang yang telah dilakukan,” ujar seorang pemimpin UMNO dari sebuah bahagian di utara tanahair.

Dalam keadaan tersebut, mahu tidak mahu, beban sebenar dan terbesar bagi BN di ketika ini ialah ada pada Zahid Hamidi sendiri.

Dengan kes mahkamahnya, tindakannya sentiasa menekan Perdana Menteri sehingga kerajaan jadi tidak stabil, malah Agong sendiri melahirkan kekecewaan atas ketidakstabilan itu dan kini ucapannya mahu menggunakan kuasa politik bagi melindungi pendakwaan di mahkamah, termasuk dirinya sendiri, semua itu sudah cukup sebagai bahan untuk dijaja sebagai hadaman kepada rakyat untuk mereka menolak BN.

Sebagaimana dalam PRU14 lalu, beban itu adalah milik Najib Razak dan dengan kesatuan hati yang ditunjukkan rakyat, BN akhirnya dapat dikalahkan dalam pilihan raya tersebut berikutan kedegilannya enggan berundur.

Maka, tidak mustahil dengan beban itu kini milik Zahid Hamidi, BN bakal ditumbangkan sekali lagi.

Ia kecuali dapat dielakkan jika Zahid Hamidi memutuskan dirinya tidak bertanding lagi.

Selagi beliau masih bertanding dalam PRU15 nanti, beban tersebut tidak akan berkurangan, malah menjadi suatu kelebihan kepada pihak lawan untuk mengajak rakyat menolak BN bagi tujuan memberi hukuman kepadanya.

Zahid Hamidi kini harus sedar beban besar yang ada pada dirinya itu dan hanya dengan beliau tidak bertanding saja beban itu dapat ditiadakan, seterusnya mungkin memberi laluan lebih selesa untuk BN mencapai kemenangan.

Percayalah, jika Zahid Hamidi tetap bertanding juga, cukup dengan dipertontonkan video itu saja sudah mencukupi untuk pakcik dan makcik di kampung-kampung menolak dan membenci BN.

Mereka memberi undi dengan harapan nasib mereka dibela, bukan sebagai laluan bagi pelahap rasuah dan pecah amanah diberi ruang terus bermaharajalela. – ShahbudinHusin 12/10/2022.


No comments: