Bedah SCRIPT: Politik Berkebajikan, Martabatkan Rakyat


 Oleh: Mohd. Fauzi Fadzil


ULASAN: Membaca hasil penulisan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang terbaru iaitu SCRIPT: For Better Malaysia menggambarkan isi hati beliau terhadap pembinaan semula pentadbiran Malaysia yang telah kehilangan kepercayaan daripada majoriti rakyat. Buku tersebut masih mendukung cita-cita DSAI untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara makmur yang memimpin pembentukan tamadun di rantau Asia seperti yang dinukilkan di dalam buku The Asian Renaissance.


Namun DSAI lebih bersikap realistik di dalam penulisan SCRIPT apabila membicarakan pengukuhan dokongan rakyat terhadap perlaksanaan polisi pemerintah sebelum berbicara berkenaan isu yang lebih besar seperti pembinaan tamadun.


Saling kepercayaan pemerintah - rakyat


Usaha untuk mendapatkan kembali dokongan rakyat terhadap golongan pentadbir bermula dengan fokus terhadap pengukuhan lapan sektor utama negara berdasarkan enam pemandu penting iaitu sustainability, care & compassion, respect, innovation, prosperity dan trust (SCRIPT).


DSAI tidak berbicara berkenaan pembinaan semula pentadbiran Malaysia melalui usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi seperti yang dilaungkan di dalam dasar Najibnomics, DSAI bermula dengan berbicara berkenaan pembinaan hubungan antara pemerintah dan rakyat dengan mewujudkan perasaan saling menghormati dan meletakkan kepercayaan antara satu dengan yang lain.

Fauzi Fadzil

Ini merupakan permulaan yang baik untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara yang telah dicalarkan oleh Langkah Sheraton sehingga mewujudkan kerajaan yang rapuh selepas tahun 2020. Perancangan dasar yang dilakukan oleh pemerintah tanpa dokongan dan kepercayaan rakyat akan menjadi sia-sia, penglibatan rakyat untuk menjayakan sesebuah perancangan pemerintah akan memastikan kelancaran dan pejimatan yang maksima dapat dicapai.


Kesejahteraan masyarakat


DSAI seterusnya mengimpikan dasar-dasar pentadbiran Malaysia yang merangkum kesemua kelompok masyarakat dengan memanfaatkan perkembangan inovasi terkini untuk memajukan negara tercinta ini.


Ketika berbicara berkenaan keutamaan dasar untuk membentuk sebuah Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan (selepas usaha mendapatkan dokongan rakyat dapat dijayakan), sekali lagi DSAI menekan isu kesejahteraan kelompok-kelompok masyarakat di Malaysia (B40, FELDA, belia, luar bandar, NGO).


Dasar yang beliau fokuskan memberi perhatian terhadap penghapusan bebanan kewangan yang membelenggu masyarakat Malaysia, seterusnya apabila ‘perut’ rakyat telah disejahterakan maka DSAI membawa perhatian terhadap penghapusan undang-undang yang menekan hak kebebasan rakyat. Usaha tersebut selari dengan laungan retorik yang beliau bawa selama bertahun-tahun iaitu untuk mereformasikan sistem pentadbiran dan undang-undang negara.


Rakyat bangunkan negara


SCRIPT secara keseluruhannya cuba untuk membawa wacana baru pasca pendemik Covid-19 di mana golongan pemerintah berbicara berkenaan isu kuasa sehingga melupakan berkenaan isu dokongan dan kepercayaan rakyat.


SCRIPT berbicara berkenaan penglibatan rakyat dalam membangunkan Malaysia dan tidak hanya meletakkan kepercayaan kepada politikus untuk menentukan arahtuju negara tercinta ini.


Matlamat yang boleh dipersetujui bersama oleh golongan pemerintah dan rakyat digariskan di dalam SCRIPT, kemudian penekanan penglibatan seluruh masyarakat diutamakan untuk mencapat matlamat tersebut.


__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Cabang Pandan

No comments: