KERJASAMA P/RAYA PH DENGAN MUDA SUATU STRATEGI YANG BAIK

 

PH dan Muda akhirnya setuju menjalinkan kerjasama politik dalam menghadapi PRU15 akan datang ini.

Bagaimanapun, kerjasama itu hanya dalam bentuk pakatan pilihanraya saja dan bukan Muda menjadi ahli komponen PH.

Menurut Anwar Ibrahim yang merupakan Pengerusi PH, ini kerana untuk menjadi parti komponen dalam gabungan itu, ia perlu mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Dengan itu, keputusannya kita boleh teruskan kerjasama dengan Muda.

“Setakat ini hanya electoral pact (pakatan pilihan raya) saja sebab kalau nak menjadi ahli rasmi (gabungan) kena mendapat kelulusan ROS.

“Saya tak fikir ROS akan luluskan apa-apa dalam keadaan sekarang,” ujar beliau.

Sehubungan itu, kata Anwar, PH dan Muda perlu menghalusi beberapa butiran dalam kerjasama mereka seperti rundingan kerusi dan logo.

Sesungguhnya keputusan PH itu adalah sesuatu yang baik dan bersesuaian dalam usaha memenangi PRU15 akan datang.

Dengan bekerjasama dengan Muda, PH bukan saja menambah kekuatannya, malah menunjukkan sikap keterbukaannya terhadap parti yang diterajui golongan muda profesional itu untuk sama-sama membina masa depan negara.

Berbanding menolak bekerjasama dengan Muda yang bererti mengenepikan golongan muda, ia akan lebih menunjukkan PH sebagai gabungan yang tertutup dan tidak terbuka.

Maka, adalah diyakini, dengan menjalinkan kerjasama dengan Muda itu, lebih ramai pengundi muda, terutama pengundi 18 tahun akan lebih berminat untuk menyokong PH.

Begitu pun, Muda mesti melipatgandakan lagi usaha dan kerjanya ke arah itu bagi menunjukkan impak yang berkesan dalam kerjasama yang dijalinkan itu.

Jika itu dapat digerakkan bersama-sama dengan sayap pemuda dalam PKR, DAP dan Amanah, tidak diragui lagi bahawa gelombang sokongan muda akan lebih memihak kepada PH pada PRU kali ini.

Yang penting untuk dicapai dalam mana-mana PRU, terutama PRU15 akan datang ini ialah kemenangan.

Untuk menang dalam pertandingan, PH perlu meramaikan kawan dan mengurangkan musuh, asalkan mereka sedia menerima konsep perjuangan PH dan tidak menuntut yang bukan-bukan.

Soal remeh temeh atau syak wasangka kepada Muda harus diketepikan dahulu kerana yang penting ialah mencari kemenangan.

Menerima Muda sebagai rakan kerjasama adalah memenuhi keperluan itu dan akan menjadikan PH lebih berwibawa di mata rakyat untuk menerajui negara ini. – ShahbudinHusin 13/10/2022.



No comments: