Najib tak layak tanding: Peguam


 

Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah kekal didapati bersalah melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan perkara itu jelas termaktub dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata satu-satu cara untuk Najib bertan­ding pada PRU-15 ialah mendapatkan pengampunan diraja sebelum hari penamaan calon.

Menurutnya berdasarkan Perkara 48 itu, Najib secara automatik hilang kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya kerana bekas Perdana Menteri itu dihukum penjara lebih setahun dan didenda lebih RM2,000.

Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.”

“Satu-satu cara Najib boleh bertanding pada PRU-15 ialah kena dapatkan pengampunan diraja bagi membatalkan sa­bitan, kesalahan dan hukuman. Satu jam sebelum penamaan calon pun masih boleh diterima. Namun, jika tiada (pengampunan), dia tidak layak,” katanya menurut Utusan.

Terdahulu, nama Najib adalah antara lima individu yang disenaraikan UMNO Bahagian Pekan untuk bertanding pada PRU-15 akan datang.

Beliau mengulas kenyataan bekas Pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman yang memaklumkan Najib boleh bertanding, walaupun dia sedang menjalani hukuman penjara dan pencalonan boleh dihantar menerusi wakilnya.

Haniff kecewa dengan kenya­taan Ab Rashid kerana apa yang dinyatakan itu bercanggah dengan Perlembagaan dan boleh mengelirukan mas­yarakat.

“Perkara ini perlu berlandaskan fakta kerana termaktub dalam Perlembagaan dan bukannya boleh bagi pendapat dan ulasan begitu sahaja. Sepatutnya dia (Ab Rashid) tahu perkara ini kerana dia bekas Pengerusi SPR,” katanya.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman berkata Najib tidak boleh bertanding pada PRU-15 kerana telah disabitkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

“Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan.

“Serta dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas,” katanya.

Katanya, walaupun Najib telah memfailkan suatu petisyen bagi pengampunan namun petisyen tersebut hanya menghalang kehilangan kelayakan beliau sebagai ahli Majlis Parlimen sebagaimana yg diperuntukkan di bawah Fasal (4) Perkara 48.

 

No comments: