Sultan tak perkenan bubar DUN Perak, keputusan kemudian: MB



Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohammad pada sidang media setelah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini (12 Oktober 2022).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan dibubarkan hari ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohammad selepas menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Saarani berkata Sultan akan mengumumkan keputusannya mengenai perkara itu kemudian.

“Saya berjumpa dengan Tuanku Sultan dan memaklumkan kepada baginda mengenai pembubaran Parlimen pada Isnin, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga memaklumkan kepada baginda bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meminta semua negeri untuk mengambil langkah perlu bagi membubarkan DUN mereka untuk mengadakan pilihan raya serentak.

“Saya sampaikan surat meminta DUN dibubarkan kepada Sultan dan baginda menerimanya.

“Sebarang keputusan berhubung perkara itu akan diumumkan oleh baginda tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh, menurut MalayMail.

Bagaimanapun, Saarani menegaskan bahawa perkembangan itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia adalah hak Sultan untuk memutuskan permintaan Menteri Besar bagi membubarkan DUN.

Beliau berkata beliau akan menghadap Sultan Nazrin sekali lagi sebaik sahaja baginda memutuskan.

Saarani kemudian berkata kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa sehingga keputusan dibuat mengenai perkara ini.

Pada Isnin, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 lebih awal, tidak mengendahkan rayuan rakyat supaya tidak mengadakan pilihan raya sehingga tahun depan, ketika negara bersiap sedia menghadapi banjir tahunan.

Seperti kebanyakan negeri lain, penggal DUN Perak hanya tamat tahun depan, tetapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah mengarahkan semua kerajaan negeri di bawah pentadbirannya – Perlis, Perak dan Pahang – untuk meminta pembubaran bagi menyegerakkan PRU-15.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengadakan sidang khas bagi membentangkan undang-undang antilompat sebelum dibubarkan, Saarani mendakwa ini tidak perlu sekarang.

“Kita pasti boleh membentangkannya selepas pilihan raya umum,” katanya.

 

 

No comments: