Pencipta lagu Suci Dalam Debu meninggal dunia


KUALA TERENGGANU: Komposer, Wan Zul atau nama sebenar Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani, 61, meninggal dunia di Hospital Kemaman, awal pagi tadi.

Berita pemergian pencipta lagu 'evergreen', Suci Dalam Debu nyanyian kumpulan Iklim itu disahkan oleh adiknya, Che Wan Zuhaini, 58, melalui aplikasi WhatsApp.

"Saya menerima berita sedih itu daripada anak arwah jam 2.30 pagi tadi, namun saya tidak pasti waktu tepat arwah meninggal dunia.

"Saya berada di Kuantan dan akan pulang ke Kemaman," katanya.

Beliau memaklumkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Kijal, Kemaman, dan dijangka dikebumikan sebelum tengah hari ini.

Difahamkan, arwah dimasukkan ke Hospital Kemaman sejak 2 Oktober lalu akibat kencing manis dan jangkitan kuman pada paru-paru, dengan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Allahyarham meninggalkan seorang balu dikenali sebagai Tengku Siti Famah, dan dua anak, Che Wan Norsyikin dan Che Wan Noradli.

Arwah merupakan antara individu bertanggungjawab menaikkan nama kumpulan Iklim di persada seni tanah air menerusi album pertama, Satu Kesan Abadi.

Selain Suci Dalam Debu, beberapa lagu dendangan Iklim hasil ciptaan Allahyarham terus diminati hingga kini, termasuk Aduhai! Seribu Kali Sayang, Kerana Takdir dan Biografi Cinta Luka.

Lagu popular lain ciptaan arwah ialah Hanya Satu Persinggahan nyanyian kumpulan Ekamatra, Antara Sutra Dan Bulan (Damasutra), Itulah Cintaku (Ilusi), Dibadai Asmara (Sera), Khazanah Dari Malaya (Ayati Tasrip) dan banyak lagi.

Sepanjang tempoh kerjayanya, Allahyarham juga pernah bertugas dengan syarikat rakaman Ambang Klasik Sdn Bhd.

No comments: