KEADILAN dan Pakatah Harapan akan terus konsisten membela nasib
dan hak masyarakat pekerja ladang di Negara ini. Kekuatan KEADILAN adalah
memperjuangkan hak setiap masyarakat tanpa mengira latar belakang di Negara
ini. Perkara ini menjadi tunjang kepada KEADILAN untuk terus mendapat sokongan
dan kepercayaan rakyat.
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah merekodkan risiko
negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada 2021 dan ia dijangka
meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya masalah kekurangan
pekerja ladang tidak diatasi segera. Ini adalah isu pokok yang gagal ditangani
oleh Kerajaan BN dan PN selama mereka memerintah.
Kerajaan BN dan PN sepatutnya mengambil inisiatif memperkasakan
pekerja tempatan dengan menyediakan latihan berterusan bagi memastikan rantaian
pekerja ladang tidak terputus. Apa yang kita lihat adalah Kerajaan hanya
memberi fokus untuk membawa masuk pekerja asing ke sektor perladangan. Hal ini
menyebabkan pekerjaan di sektor perladangan dimonopoli warga asing.
Kerajaan BN dan PN gagal melatih penduduk tempatan yang kurang
berpengalaman atau berkemahiran bagi mengisi kesemua jawatan di sektor
perladangan. Tidak ada rekod menunjukkan Kerajaan berusaha membangunkan tenaga
kerja tempatan sebagai modal sumber manusia yang berkemahiran, berpengalaman,
dan berpengetahuan.
Kebajikan pekerja ladang terus dipandang enteng oleh Kerajaan.
Keadaan sekolah yang serba daif telah menyebabkan potensi anak-anak pekerja
ladang ini tidak berkembang dengan baik. Selama 60 tahun Kerajaan BN
memerintah, isu pemilikan tanah rumah ibadat di ladang-ladang masih gagal
diselesaikan. Kegagalan Kerajaan hari ini menjaga kepentingan pekerja dan bekas
pekerja ladang semakin jelas apabila kebajikan mereka termasuklah mendapatkan
rumah sebagai tempat berlindung juga gagal diselesaikan.
Kehidupan keluarga pekerja ladang tidak akan berkembang dengan
baik apabila infrastuktur asas seperti sekolah, rumah dan rumah ibadat tidak
terjamin. KEADILAN dan Pakatan Harapan pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim
sentiasa konsisten memperjuangkan setiap hak rakyat Malaysia termasuk
pekerja-pekerja ladang. Walaupun terdapat beberapa perkara berbangkit yang
masih belum diselesaikan sepenuhnya, tekad dan iltizam setiap pimpinan Pakatan
Harapan akan memastikan setiap masalah berbangkit akan dapat diselesaikan
dengan harmoni.
KEADILAN UNTUK SEMUA
Sekian.
Dikeluarkan 12 Oktober 2022
Y.B DR. GUNARAJ GEORGE
Pengerusi Biro Pekerja Ladang KEADILAN
Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja
Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat
Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor,
Ahli Dewan Negeri Selangor N48. Sentosa