PRN Melaka : BN tanding semua 28 Dun, tampil muka baru

 

UMNO menampilkan hampir 90 peratus muka baharu untuk mewakili Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Utusan Malaysia difahamkan, kesemua calon terpilih telah menemui Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Senarai tersebut akan diumumkan oleh Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN di Dewan Tun Hussein Onn, WTC pukul 10.00 pagi Sabtu ini.

Kesemua calon juga dijangka menerima watikah pencalonan dan aku janji selepas selesai majlis pengumuman berkenaan.


Difahamkan juga, hanya tiga penyandang yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dikekalkan iaitu Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu; ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Atan.

Dua Ketua UMNO Bahagian yang diketepikan pula ialah Datuk Hasan Rahman (Jasin) dan Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan (Alor Gajah).

Antara muka baharu akan bertanding ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di kerusi DUN Tanjung Bidara.

Timbalannya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pula berdepan tugas getir, diletakkan di DUN Pantai Kundor berdepan penyandang kerusi, Datuk Nor Azman Hassan yang sudah digugurkan keahlian daripada parti.

Selain itu, turut dicalonkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Khaidhirah Abu Zahar atau Dira di DUN Rim menggantikan penyandang, Datuk Ghazale Muhamad.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh pula dicalonkan di DUN Merlimau menggantikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad.

Seorang lagi Ahli MT UMNO, Datuk Rais Yasin dipilih bertanding di DUN Paya Rumput manakala Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu, Mohd. Fasarul Md. Isa pula di DUN Sungai Udang.

Turut tersenarai ialah Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Ridhwan Tun Ali seperti dijangkakan berentap di DUN Pengkalan Batu, manakala Timbalannya, Datuk Hasnoor Sidang Husin bersaing di DUN Bukit Katil.

Turut dicalonkan semula ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di DUN Telok Mas.

No comments: