Jka Marang contoh ‘kejayaan’ PAS ???

 

Marang contoh ‘kejayaan’ PAS


Marang contoh ‘kejayaan’ PAS. Setiap tahun saya cuba ke Terengganu untuk bercuti dan menikmati keindahan pulau di sana atau bersantai di pantai-pantai yang tercantik di Malaysia.

Pada minggu lalu, saya bersama keluarga ke Pulau Kapas untuk mengail sotong di waktu malam dan ikan kerisi di waktu pagi, sekali gus melonjakkan semangat kami semua.

Pulau Kapas, salah satu pulau yang terdekat dari pesisir pantai, satu masa lalu, menjadi pusat perkelahan yang popular terutama dalam kalangan pelancong asing. Tetapi sekarang agak dingin.

Ia terletak 6 km dari jeti Kuala Sungai Marang. Bagi mereka yang tidak pernah ke sana, bandar Marang sudah lama tiada, cuma tinggal nama sahaja.

Marang contoh 'kejayaan' PAS

Marang, one street town

Sebenarnya, bandar lama satu lorong (one street town) yang terletak di pinggir sungai berdekatan kuala Marang ini suatu masa dulu amat popular dan menerima begitu ramai pelancong. Bandar yang dibina oleh kaum generasi pedagang warga Malaysia keturunan Cina itu berabad usianya, sebelum dirobohkan oleh kerajaan negeri.

Lebih dua puluh tahun dulu, kerajaan Terengganu beranggapan bahawa pengambilan balik tanah atas dasar pembangunan baharu akan menarik lebih ramai pelancong.

Lantas mereka telah merobohkan semua rumah kedai lama di situ dan sekarang memiliki tapak yang kosong. Pembangunan yang diwartakan, bagaimanapun, tidak berlaku sehingga sekarang.

Yang ada cuma satu pasar basah yang aktif, pasar buah, berhadapan beberapa gerai makanan tempatan yang murah dan masih popular dalam kalangan pelanggan tempatan, dan sebuah jeti ke pulau kapas.

Mercu tanda Marang hanyalah persimpangan empat dengan lampu isyarat yang mempunyai replika sotong besar di pinggir jalan.

Tiada lagi bandar satu lorong, tiada pelancong asing, dan nama Marang cuma mewakili satu daerah dari lapan daerah di Terengganu. Lokasinya antara daerah Dungun di selatan, ibu negeri Kuala Terengganu di utara, Hulu Terengganu di barat, dan Laut China selatan di bahagian timur.

Kerusi PAS

Marang ialah kubu ketua PAS, Abdul Hadi Awang, sejak PRU 1982. Pada 1986 kerusi DUN Marang ditukar nama kepada Ru Rendang dengan Hadi mewakilinya sehingga tahun 2018.

Selepas dua kali kalah (1982 dan 1986), cubaan Hadi akhirnya berjaya menawan kerusi Parlimen Marang dari Umno pada 1990.

Pada PRU 1999 pula, PAS dapat menawan Terengganu dan Hadi dilantik Menteri Besar selama lima tahun. Dia kemudiannya kalah pada PRU 2004 beserta dengan kerusi Parlimen juga. Tetapi dia kembali menang kerusi Parlimen pada 2008 sehingga sekarang.

PAS berjaya menawan semula Terengganu pada PRU yang lalu (2018) dan sekarang menguasai 22 daripada 32 kerusi DUN negeri itu. PAS juga menawan 6 kerusi Parlimen manakala baki 2 kerusi milik Umno-BN.

Sebagai pengunjung melalui jalan darat, kita tahu daerah Marang ini dihubungi melalui jalan raya yang menyambung Dungun dengan Kuala Terengganu. Perkampungan di sepanjang jalan ini menampakkan taraf ekonomi di daerah Marang dan sekaligus mencerminkan pembangunan yang agak terencat.

Jambatan satu laluan merentasi Sungai Marang, yang dibina pada awal 1970-an telah lama usang, tetapi tiada rancangan dari kerajaan negeri untuk menggantikannya atau menambah satu lagi lorong bagi menampung jumlah trafik antara bandar yang meningkat berlipat ganda.

Melawan arus pelancongan

Sekian lama kedengaran banyak keluhan bahawa ahli politik PAS telah melenyapkan budaya dan tradisi Melayu di Terengganu yang dulunya kaya dengan musik, pakaian, dan tarian tradisional yang unik kepada negeri itu.

Pada masa sama, politik PAS juga tidak membantu mahupun menggalakkan budaya ekonomi dan perniagaan yang teratur.

Potensi mengembangkan ekonomi rakyat Terengganu dikekang akibat dasar-dasar rapuh ahli politik PAS yang lebih cenderung menggunakan agama untuk mengukuhkan pengaruh diri manakala rakyat dihimpit kemiskinan.

Isu utama di sini ialah pimpinan kerajaan PAS gagal, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, mengembangkan sektor pelancongan, khususnya dalam aspek menggalakkan kemasukan pelancong luar negara.

Sedangkan daerah Marang dan Pulau Kapas mempunyai tarikan pelancongan yang berpotensi besar menjana kegiatan ekonomi dan perniagaan tempatan. Ia sekali gus boleh memastikan nasib penduduk tidak lagi terikat kepada sektor perikanan yang agak terbatas dan bermusim.

Pelancongan adalah sebahagian dari ekonomi masyarakat tempatan. Prasarana tempatan seperti pelaburan di bidang perhotelan dan penginapan tertumpu kepada kegiatan pelancongan. Pemilik bot penumpang mengharapkan pelancong. Begitu juga dengan industri kotej (cottage industry) dan pemakanan tempatan, semuanya berharap kepada pelancong.

Pasaran tempatan terlalu kecil jika sektor pelancongan dihalang daripada bergerak maju.

Saya tidak pasti sama ada ahli politik PAS sedar atau tidak faham atau mereka sengaja tidak mahu faham tentang pentingnya kegiatan sektor pelancongan untuk menjana ekonomi tempatan dan mengubah nasib rakyat.

Tanpa pelancongan, industri kotej dan makanan yang mengharapkan pembelian dari pelancong untuk terus hidup akan gagal. Pelancong asing mempunyai kuasa beli tinggi dan mampu membawa perubahan langsung kepada nasib penduduk Terengganu.

Politik PAS tidak membantu ke arah ini, malah menjadi batu penghalang kepada sektor pelancongan. Dengan itu, industri pondok dan makanan serta pelaburan dalam sektor perhotelan juga mundur dengan halangan tersebut.

Kalangan pemerhati tempatan menganggap ahli politik PAS gagal berfikiran jauh dalam menganjakkan nasib rakyat Terengganu. Siri ceramah dan khutbah mereka lebih menjurus kepada soal-soal akhir zaman.

Tetapi pada masa sama, tanpa segan silu, mereka sendiri menikmati kemewahan dan taraf keselesaan hidup yang tinggi dengan memiliki kereta mahal, alatan elektronik yang canggih, dan rumah-rumah mewah.

Sejak 18 bulan lalu, PAS menjadi sekutu penting dalam kerajaan persekutuan, namun nasib rakyat yang patut dibela pemimpin parti, contohnya di Terengganu dan Kelantan masih sama.

Justeru, PAS mengundang cemuhan bahawa ia tidak prihatinnya tentang kesusahan dan kemiskinan rakyat. Mereka juga tidak berperanan dalam menangani masalah kebersihan, sampah sarap di persekitaran, dan jalan raya berlubang.

Di musim tengkujuh, tanpa sistem saliran yang sekian lama dijanji tetapi tidak terbina, banjir sering berlaku dan merugikan rakyat yang sememangnya miskin dari segi harta-benda. Marang dan Kuala Terengganu tidak mempunyai sistem saliran dan perparitan yang wajar.

Keselamatan jalan raya

Kerajaan PAS juga tidak hirau tentang ciri-ciri keselamatan jalan raya. Mengikut laporan polis trafik, kawasan jalan raya berisiko tinggi ialah antara Kelulut and Rusila, dua perkampungan di daerah Marang. Inilah kawasan kemalangan yang tertinggi di Terengganu.

Bukan sahaja ia mencatatkan jumlah kenderaan yang tinggi untuk jalan raya satu laluan, tetapi percampuran trafik antara trafik tempatan dan antara bandar juga tinggi, menjadikan ianya masalah dan konflik berpanjangan di sepanjang jalan tersebut.

Lebih tenat apabila warung-warung perniagaan didirikan bersebelahan jalan dengan tidak mengambil kira ciri-ciri keselamatan kepada pengguna. Ramai meletak kenderaan mereka dan menghalang kelicinan pergerakan trafik di jalan utama ini.

Penduduk Marang sememangnya rajin membuka perniagaan dan menjaja pelbagai produk. Industri pondok di Marang nyata berjaya menarik pelanggan yang banyak dengan menawarkan makanan, batik, barangan kraf dan perkhidmatan perhotelan.

Tetapi itu atas usaha diri. Kerajaan negeri tidak membantu mereka. Tidak ada perancangan yang dibuat oleh kerajaan PAS untuk menyelesaikan masalah pergerakan trafik yang tidak teratur, apalagi untuk membantu sektor pelancongan untuk memberi perkhidmatan yang lebih teratur, berkualiti, dan meningkatkan nilai promosi mereka.

Isu kebersihan

Saya difahamkan bahawa Menteri Besar sekarang berkelulusan di bahagian penerbangan. Sektor penerbangan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi. Kenapa beliau tidak gunakan kepakaran beliau untuk menangani masalah keselamatan di jalan raya di Marang atau Ru Rendang, iaitu kawasan yang beliau sendiri wakili sebagai ADUN?

Sekurang-kurangnya beliau harus mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan bahaya dan menurunkan kadar kemalangan di jalan utama tersebut.

Yang pelik, warung-warung perniagaan menghadap ke jalan dan tidak ke pantai. Pantai kelihatan seperti terbiar, tidak diurus dan kotor dengan sampah musim tengkujuh daripada tahun sebelumnya. Tidak jelas kenapa dibiarkan demikian. Mungkin pengurusan pantai oleh majlis daerah tidak langsung berfungsi.

Ini soal pengurusan. Pemimpin PAS tidak cekap dalam pengurusan dan tidak menanam tabiat kebersihan kepada pengikut mereka. Sikap pemimpin PAS yang tidak peduli kepada alam sekitar dan kebersihan persekitaran amat mengecewakan.

Saya berhenti di satu masjid di Rusila dan melihat sendiri tentang tahap kebersihan tandas di situ. Saya kira setelah begitu lama berpolitik, tentunya isu kebersihan telah ditangani oleh pemimpin berkenaan. Ternyata tidak. Adalah satu kegagalan yang amat mengecewakan apabila rumah Allah tidak dijaga dari segi kebersihan dengan tandas yang tidak dicuci.

Ternyata kebersihan tidak dijadikan perkara pokok oleh pemimpin PAS. Model daerah dan negeri Islam ternyata belum cemerlang, apa lagi untuk menjadi contoh terbaik bagi masyarakat lain menghayatinya.

Kebersihan fizikal ini ialah perkara yang amat senang untuk ditangani. ‘Gotong-royong’ boleh bermula dari masjid dengan pengikut yang ramai. Ini yang paling efektif, tetapi tidak berdaya dilakukan oleh pemimpin PAS.

Alam sekitar mestilah bersih dari segala kekotoran. Begitu juga hati nurani manusia; bersih dari gejala rasuah, sama ada pemberi atau penerima.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, saya ingin mencadangkan supaya pemimpin dari parti-parti dan negeri lain terutama dari Melaka, Sarawak dan Sabah, meluangkan masa dan pergi melihat sendiri kawasan Parlimen Marang.

Lihat kecacatan dan kegagalan kawasan yang selama ini diperintah oleh kerajaan PAS, berpuluh tahun lamanya.

Anda perlu ke sana dan menghayati keadaan ekonomi yang terancam, keperitan kehidupan, kemiskinan penduduk, kepincangan pemimpin, serta jurang lebar antara kekayaan pemimpin dan kemiskinan masyarakat yang dipimpin mereka.

Lebih dari empat dekad sudah berlalu sejak masyarakat Terengganu hidup di bawah pengaruh PAS. Nyata tidak ada banyak perubahan yang boleh dibanggakan.

Dengan melihat sendiri, pemimpin parti lain mungkin boleh menilai kembali kerjasama politik mereka dengan PAS.

Bagi saya sendiri, lawatan ke Marang tempoh hari membuka lagi minda dan mata mengenai perlunya membezakan kaca dan permata, perlunya kita tidak terbuai dengan janji manis yang jauh berbeza dengan hakikat di lapangan.

No comments: