100 ketua bahagian Umno mahu Zahid berundur?

 Terkini! 100 ketua bahagian Umno mahu Zahid berundur?


Lebih 100 ketua bahagian UMNO di seluruh negara didakwa bersepakat untuk meminta Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur dan ‘berehat’ pada pemilihan parti akan datang.

Perkara itu didedahkan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin pada saat pucuk kepimpinan UMNO diketuai Ahmad Zahid sedang memperhebatkan gerakan untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Ahmad Zahid selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu, menegaskan parti bersetuju mengarahkan kesemua ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta..

Bagaimanapun, Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) kemudiannya mengeluarkan surat memaklumkan badan kerajaan itu tidak mengiktiraf keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu selama 18 bulan, selepas 30 Jun lalu.

Jawapan terkini RoS itu secara tidak langsung menyebabkan segala keputusan MKT selepas 30 Jun turut dianggap tidak terpakai, termasuk ketetapan ahli-ahli Parlimen parti itu menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.

Mohd Fuad berkata, persepakatan ketua-ketua UMNO bahagian itu tercetus setelah pucuk kepimpinan parti diketuai Ahmad Zahid dilihat melakukan kesilapan dengan tidak mengadakan pemilihan atau menangguhkan proses pemilihan parti sebelum tamat tempoh penggal perjawatan MKT sebelum 30 Jun.

Jelas beliau, mereka juga kecewa dengan keputusan Ahmad Zahid mengarahkan ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN serta-merta, pada saat rakyat berdepan kesusahan akibat krisis pandemik Covid-19.

“Ketua-ketua UMNO bahagian turut berpandangan tindakan itu akan menyebabkan pemimpin UMNO dilihat tidak bertanggungjawab terhadap rakyat pada saat kerajaan PN bertungkus-lumus mendepani krisis Covid-19 yang semakin serius.

“Bagaimanapun, persepakatan lebih 100 ketua UMNO bahagian ini bukanlah satu gerakan untuk menjatuhkan Ahmad Zahid.

“Proses ini adalah proses biasa yang akan dilaksanakan melalui pemilihan parti yang perlu dilaksanakan Ahmad Zahid secepat mungkin. Tidak timbul isu kita mahu memburukkan sesiapa,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad mengakui terdapat beberapa ketua UMNO bahagian sebelum ini menyatakan pendirian meminta Ahmad Zahid untuk berundur daripada jawatan Presiden UMNO, namun suara mereka tidak didengari Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Jelas beliau, tuntutan supaya Ahmad Zahid ‘berehat’ turut bersandarkan alasan parti keramat orang Melayu itu tidak boleh dianggap gila kuasa dengan usaha menteri-menteri UMNO yang bertungkus-lumus membantu kerajaan PN untuk menangani krisis pandemik perlu dihargai.

“Kami turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan sekitar 30 ahli Parlimen UMNO serta Barisan Nasional (BN) yang dilihat mendahulukan kepentingan negara dan rakyat dengan terus kekal bersama kerajaan PN.

“Kalau ada dalam kalangan pemimpin UMNO hendak jatuhkan kerajaan PN sangat, sepatutnya mereka kena patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang sudah memperkenankan hasrat usul undi percaya Perdana Menteri di Parlimen diadakan pada bulan September ini…Tunggulah sidang Parlimen bulan hadapan,” katanya.

Seorang lagi Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah juga senada dengan Mohd Fuad yang mahu kekal bersama dalam kerajaan PN dan menumpukan kepada usaha untuk menangani isu kebajikan rakyat dan bukannya merebut kuasa.

“Pada masa sukar ini amatlah molek dan sangat bijaksana sekiranya UMNO kekal mendukung bersama-sama kerajaan PN, mengemblen buah fikiran dan tenaga bagi sama-sama membela rakyat, raja dan negara keluar daripada krisis dan musibah yang maha mencabar ini selaras dengan matlamat tersirat dan tersurat perjuangan UMNO itu sendiri iaitu demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakaria turut menyokong tindakan kira-kira 30 Ahli Parlimen BN yang membuat pendirian untuk kekal menyokong kerajaan PN.

“Malah pada hemat saya selaku pemimpin daripada strata rakyat di peringkat bahagian UMNO, sepatutnya seluruh jajaran kepimpinan UMNO mengambil pendirian dan ketetapan seperti mana yang ditunjukkan oleh 30 orang Ahli Parlimen tersebut.

“Ini kerana ketetapan dan pendirian mereka adalah secara jelas, terang dan bersuluh sangat sinonim dengan asas dan tujuan penubuhan UMNO. Semangat pembentukan UMNO adalah untuk membela rakyat, agama dan tanah air,” katanya lagi.

Untuk rekod, terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan membabitkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu pada peringkat cawangan sebanyak 21,135 mesyuarat; Wanita (21,058 mesyuarat); Pemuda (15,496 mesyuarat); dan Puteri (8,598 mesyuarat).

Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di UMNO bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang semuanya mesti dijalankan secara serentak.

Sumber | SH

No comments: