Pengakuan Ismail bukti Muhyiddin hilang majoriti, soal ‘keabsahan’ sekarang di tangan Agong, kata Shahrir

 


Shahrir Abd Samad berkata kenyataan Ismail Sabri Yaakob sendiri mengesahkan dan membuktikan Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh menentukan keabsahan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri di bawah peruntukan perlembagaan susulan pengakuan Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya disokong 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional, kata veteran Umno, Shahrir Samad.

Beliau berkata kenyataan timbalan perdana menteri itu, adalah bukti jelas bahawa Muhyiddin sudah hilang majoritinya dan kemelut keabsahan kerajaan pimpinannya dapat dirungkai berpandukan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, tanpa perlu ke Parlimen.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan bersama jemaah menteri melainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Agong.

Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru berkata, peruntukan perlembagaan itu jelas. Justeru, katanya, susulan kenyataan Ismail itu yang “membuktikan” Muhyiddin tidak lagi mempunyai majoriti, Agong mempunyai kuasa penuh di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan keabsahan beliau, katanya.

“Jelas kerajaan tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti, (dan ini diakui menerusi) kenyataan pemimpin nombor dua negara (Ismail), bukan calang-calang orang bercakap,” katanya ketika ditemui FMT.

“Apa pun, (harus) kembali pada Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(4) jelas dan terang tak perlu minta nasihat Peguam Negara, Takiyuddin (Menteri Undang-undang) atau Speaker Dewan Rakyat kerana sudah disahkan sendiri melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang mengatakan (kerajaan Muhyiddin) hanya memiliki sokongan 31 Ahli Parlimen,” kata Shahrir.

Jumaat lalu, 18 Ahli Parlimen BN tampil pada sidang media bersama Ismail sebagai tanda sokongan untuk terus bersama kerajaan PN, selepas Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN pimpinannya.

Ismail mendakwa selain 18 yang berkongsi pentas dengannya, ada 12 lagi wakil rakyat BN yang juga menyokong kerajaan PN.

Bagaimanapun sekurang-kurangnya dua Ahli Parlimen Umno, Noh Omar dan Azeez Abdul Rahim, menafikan mereka bersetuju meningkari arahan MKT itu.

Sebelum kenyataan Ismail itu, Muhyiddin memaklumkan Agong bahawa dia masih mempunyai sokongan majoriti dan akan menguji keabsahannya sebagai perdana menteri menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat bulan depan, satu tempoh yang disifatkan terlalu lama oleh pembangkang dan pelbagai pihak lain.

Shahrir berkata, mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Johor Bahru secara maya yang dipengerusikannya semalam, membuat ketetapan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah “terpakai” susulan ‘pengakuan’ Ismail itu kerana kerajaan PN “hari ini sememangnya sudah hilang kepercayaan majoriti.”

Katanya, Umno Bahagian Johor Bahru tidak mementingkan soal siapa menjadi perdana menteri, sebaliknya mahukan satu kerajaan yang boleh berfungsi dengan baik dan berkesan dalam menguruskan pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi rakyat, menangani isu pendidikan dan menghentikan berpolitik untuk mengekalkan kuasa.

“Berpolitik yang dimaksudkan ialah menggunakan agensi penguatkuasa seperti SPRM, LHDN dan terbaharu ROS. Inilah dimaksudkan politiking, penyalahgunaan agensi kerajaan,” kata beliau.

No comments: