Muhyiddin hilang sokongan parti komponen, perlu letak jawatan – Anwar

 

MGF16032021_PC-ANWAR-IBRAHIM-10

                            Anwar Ibrahim


By

 Manzaidi Mohd Amin


KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) mengingatkan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokongnya.

Pengerusi MPPH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, turut memberi sokongan kepada Muhyiddin ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020.

Jelas beliau, apabila Ahmad Zahid mengumumkan menarik sokongan seperti berlaku sekarang, maka Perdana Menteri telah hilang sokongan asas parti UMNO dan seterusnya hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Jelas sekali Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik Perikatan Nasional (PN) daripada mempertahankan Keluhuran Undang-Undang.

“Oleh itu, Muhyiddin perlu meletakkan jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan bersama kepada media, hari ini.

Idrus dalam kenyataannya hari ini menyatakan, buat masa ini kerajaan PN tidak mempunyai apa-apa fakta jelas menunjukkan Muhyiddin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Kata beliau, berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti hendaklah ditentukan Ahli Dewan rakyat sendiri, bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik atau mana-mana pemimpin parti politik.

Oleh itu, menurut Idrus, daripada segi undang-undang, Muhyiddin dan Jemaah Menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, Pakatan Harapan (PH) akan terus memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, pengurusan krisis Covid-19 dan program vaksinasi yang lebih pantas.

“Di samping itu, mengambil langkah menghidupkan semula ekonomi negara yang lebih baik melalui dasar yang diteliti dan diumum oleh jawatankuasa PH.

“Kita perlu memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat berikutan krisis Covid-19 yang kian meruncing, berbanding terus berpolitik demi jawatan dan habuan,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Presiden turut berpendirian waktu ini bukan masa sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) memandangkan jumlah kes Covid-19 yang masih tinggi dan prasarana kesihatan awam semakin tertekan.

Kenyataan MPPH itu turut ditandatangani Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. MG

 

No comments: