Guan Eng mahu kes rasuah projek terowong didengar di Mahkamah Tinggi


Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didakwa tahun lalu atas tuduhan meminta suapan berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memfailkan permohonan bagi perbicaraan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut, yang dijadualkan bermula Selasa depan, untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Tarikh perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi ditetapkan pada Disember lalu.

Dalam permohonannya yang difailkan semalam, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, semua prosiding harus dihentikan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Permohonan berkenaan, yang difailkan oleh Messrs Gobind Singh Deo & Co, akan didengar di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin.

Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkata beliau akan membantah permohonan itu.

Katanya, beberapa saksi dari Pulau Pinang telah dijadualkan untuk memberi keterangan di Mahkamah Sesyen mulai Selasa hingga Jumaat.

Dalam afidavit sokongannya yang dilihat FMT, Lim berkata, pihak pendakwaan meminta beliau mengemukakan pembelaannya sebagaimana yang dikehendaki bawah Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, katanya, Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 2018 bahawa syarat tersebut tidak menepati perlembagaan, walaupun keputusan bertulis tidak tersedia.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai Seksyen 62 Akta SPRM adalah persoalan penting yang harus ditentukan untuk perbicaraan yang adil,” katanya.

Katanya, beliau juga berhak atas kenyataan saksi pendakwaan kepada SPRM, yang kini diklasifikasikan sebagai dokumen “terlindung”, sebagai persiapan pembelaannya.

“Justeru, kes ini mesti didengar di Mahkamah Tinggi supaya Mahkamah Persekutuan boleh mendengar dan menentukan persoalan undang-undang,” katanya.

Prosiding dari Mahkamah Sesyen, katanya, hanya akan sampai ke Mahkamah Rayuan.

Lim didakwa pada 7 Ogos tahun lalu atas tuduhan meminta suapan untuk membantu Pengarah Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Beliau didakwa meminta 10% daripada keuntungan syarikat milik Zarul itu berhampiran sebuah hotel di Mid Valley City pada Mac 2011.

Pada 10 Ogos, Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth kerana menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri untuk meminta suapan sebanyak RM3.3 juta sebagai dorongan bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek bernilai RM6.3 bilion itu.

Pada 11 Sept, beliau didakwa di mahkamah sama atas dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada dua syarikat, yang berkait projek terowong dasar laut itu.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang pada Feb 2015 dan Mac 2017.

No comments: