Ahli MPT Bersatu ‘lega’ Umno tarik balik sokongan kepada PM


Ahli MPT Bersatu, Redzuan Yusof, yakin keputusan Umno didorong individu-individu yang mempunyai kepentingan dan dirancang untuk meletakkan Ahli Parlimen parti dalam kedudukan sukar.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu berasa “lega” dan “bersyukur” atas keputusan Umno untuk menarik balik sokongan kepada perdana menteri, walaupun beberapa teman seperjuangannya mengecam langkah itu.

“Rakyat sekarang tahu siapa dalam Umno yang layak dipanggil pemimpin dan siapa yang hanya berminat untuk menjaga kepentingan sendiri.

“Saya bersyukur kerana saya lega,” kata Redzuan Yusof, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Redzuan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), yakin sebahagian besar Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan “mengambil tindakan tepat” dan terus menyokong Muhyiddin Yassin.

Katanya kepada FMT, beliau yakin keputusan Umno didorong individu-individu yang mempunyai kepentingan dan dirancang untuk meletakkan Ahli Parlimen parti dalam kedudukan sukar.

“Tetapi saya cukup kenal Ahli Parlimen BN dan saya harap mereka akan ikut kata hati nurani mereka dan mengelak daripada mencetuskan krisis politik, walaupun ada tekanan untuk menuruti keputusan parti.

“Mereka akan buat benda yang betul dan sokong kerajaan, supaya ia dapat terus menangani krisis Covid-19 dan mengembalikan ekonomi pada landasan,” katanya.

Redzuan juga berkata, keputusan Muhyiddin untuk menaikkan pangkat pemimpin-pemimpin Umno, Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein, masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan, adalah “langkah politik yang bernas” dan menuju ke arah yang betul.

“Dalam satu gerakan, beliau mengiktiraf pemimpin dalam Umno, siapa yang mampu memimpin parti dan memainkan peranan lebih besar dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, sekarang ada kemungkinan kerajaan akan mendapat sokongan Ahli Parlimen yang menolak untuk dikaitkan dengan pemimpin Umno yang sedang dibicarakan.

Ini termasuk yang sejajar dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Warisan yang berpangkalan di Sabah.

“Mereka boleh jadi akan sokong kerajaan kerana saya percaya semua orang ingin fokus kepada Covid-19 dan ekonomi,” katanya.

Kata Redzuan, beberapa pemimpin akar umbi Umno memberitahunya, mereka melihat parti itu sedang mengalami transformasi untuk mengakhiri budaya “warlord”.

“Ini lah sebabnya, saya dimaklumkan, ramai menunggu-nunggu pemilihan dalam Umno, tetapi ia telah ditunda disebabkan Covid-19,” katanya.

Redzuan tidak membenci Umno, katanya, dan hanya mahu Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan ramai pemimpin parti itu yang “tidak tercemar” demi kepentingan negara.

Beliau tidak bersetuju dengan pengkritik bahawa kerajaan gagal menangani krisis Covid-19, katanya, walaupun percaya ada ruang untuk pembaikan.

“Apa yang dihadapi kerajaan hari ini belum pernah terjadi sebelum ini. Banyak kerajaan di seluruh dunia berdepan cabaran serupa,” katanya.

“Covid-19 hari ini tidak sama dengan tahun lalu. Virus ini bermutasi dan wujud beberapa varian yang membimbangkan.

“Hakikatnya, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar sumber untuk memerangi Covid-19 dan mendukung masyarakat dan perniagaan, selain berusaha untuk mencapai keseimbangan antara nyawa dan mata pencarian.

Beliau percaya banyak sentimen antikerajaan yang dapat dilihat sekarang “sengaja dicipta” dan adalah hasil manipulasi.

Katanya, kerajaan sentiasa mencari cara untuk menyesuaikan dan menggunakan pendekatan yang berbeza untuk menangani situasi yang berubah-ubah.

“Saya rasa kita juga harus sedar bahawa kejayaan mesti diukur dengan cara kita capai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi, bukan hanya dengan jumlah kes direkodkan,” tambahnya.