KETETAPAN MT UNTUK JATUHKAN PM TAK BERMAKNA APA2, SEKADAR KEPUTUSAN KUPANG TEMBAGA

 

Ketika mula-mula diumumkan tentang keputusan MT UMNO menarik sokongan secara serta-merta terhadap Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin dua hari lalu, ramai yang kelihatan gembira dan cerita dengan berita itu.

Keputusan itu dilihat menunjukkan keberanian UMNO dalam membuat keputusan, sekaligus juga keberanian Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO merempuh segala rintangan dalam memuktamadkan ketetapan tersebut.


Dalam keadaan sokongan dimilikinya tidak solid, ditambah dengan sebahagian pemimpin UMNO sendiri lebih kemaruk mempertahankan jawatan dalam kerajaan berbanding memartabatkan perjuangan, mendapatkan dokongan majoriti untuk menyingkirkan Perdana Menteri bukanlah suatu perkara yang mudah.

Walaupun Mahiaddin bukan daripada UMNO, tetapi kerana kuasa Perdana Menteri yang dimilikinya, harus diakui lebih ramai manusia jadi terpesona dan ingin memeluk serta mencium tangannya berbanding disuruh memusuhi, apalagi menjatuhkannya.

Lantaran itu, keputusan MT UMNO yang akhirnya berjaya memuktamadkan ketetapan menarik sokongan secara serta-merta itu disambut dengan penuh rasa gembira.

Harapan awal banyak pihak, kalau pun dengan penarikan sokongan itu tidak menyebabkan Mahiaddin berundur dengan segera, setidak-tidaknya menteri dan timbalan menteri yang duduk dalam kerajaan akan secara sukarela meletak jawatan kemudiannya bagi memastikan keputusan MT itu benar-benar berhasil mencapai maksud yang diharapkan.

Tetapi, oleh kerana keputusan menarik sokongan itu tidak disertai dengan ketetapan Ahli-Ahli Parlimen dalam kerajaan mesti meletak jawatan, ternampaknya tiada siapa yang sedia meletakkan jawatan.

Bagi tujuan memaksa Mahiaddin meletak jawatan, sekiranya perkara itu tidak berlaku, langkah susulan yang sepatutnya diambil ialah semua Ahli Parlimen UMNO mesti menarik diri dan meletak jawatan daripada kerajaan.

Dengan itu, barulah Mahiaddin benar-benar hilang sokongan dan kerajaan akan tumbang, kecuali jika ada daripada 38 Ahli Parlimen UMNO yang enggan berbuat demikian dan mengambil keputusan keluar parti atau sedia untuk dipecat.

Malang sekali, selain tiada yang terlihat sedia meletak jawatan, sehari sebelum mesyuarat MT UMNO Selasa lalu, Ismail Sabri Yaakob sendiri telah menerima tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri yang ditawarkan Mahiaddin kepadanya.

UMNO pula dalam salah satu perincian mesyuarat MT pada malam tersebut turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ismail Sabri.

Dalam hal ini, apakah UMNO sudah terlupa dengan ketetapan MT sendiri pada Februari lalu yang membuat keputusan menolak sebarang tawaran dan tidak akan melobi bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri?

Di mana maruah UMNO, di sebalik sudah tersedia ketetapan menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi pemimpinnya sendiri menerima jawatan tersebut, bahkan parti sendiri mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri?

Apa sebenarnya perjuangan UMNO – pelahap jawatan atau mahu parti kembali dominan di persada kuasa dalam politik negara?

Dengan menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri yang bermakna UMNO atau setidak-tidaknya Naib Presidennya lebih merapatkan lagi pelukannya kepada Mahiaddin, apakah langkah itu mampu membawa parti kembali dominan atau bakal kekal sebagai penumpang kepada Bersatu?

Lebih buruk, keputusan MT UMNO menarik sokongan terhadap Mahiaddin itu juga dilemahkan lagi dengan ketetapan memberi kebebasan kepada Ahli-Ahli Parlimennya membuat pilihan dalam sebarang pengundian di Parlimen.

Ketetapan memberi kebebasan itu diterkandung dalam audio Zahid Hamidi di akhir mesyuarat MT yang tular di media sosial sejak semalam dan kemudian disahkan lagi melalui kenyataan media Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan kemudiannya.

Meskipun Ahmad Maslan berkata, kebebasan itu harus membuatkan Ahli-Ahli Parlimen menjadikan keputusan MT UMNO menarik sokongan terhadap Mahiaddin sebagai panduan, soalnya siapa yang mahu mengikutinya?

Bagi menteri, timbalan menteri dan Ismail Sabri khususnya yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri, panduan daripada jawatan yang dilantik oleh Mahiaddin dalam kerajaan pasti lebih kuat tarikannya berbanding panduan MT yang hanya sekadar panduan kosong semata-mata.

Kalau panduan agar tidak menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri pun senang-senang boleh dilanggari, di mana susahnya bagi Ahli-Ahli Parlimen yang berjawatan dalam kerajaan dengan gaji lumayan puluhan ribu sebulan atau bagi mereka yang takut diseret ke mahkamah untuk mengundi menyokong kerajaan di Parlimen?

Bahkan, belum sidang Parlimen diadakan pun sudah keluar kenyataan media yang mewakili Ahli-Ahli Parlimen BN menyatakan mereka tetap akan menyokong kepimpinan Mahiaddin.

Tidakkah semua ini memalu dan mengaibkan keputusan UMNO kerana dengan jelas Ahli Parlimen lebih menyokong Mahiaddin daripada ketetapan parti?

Hakikatnya, membuat ketetapan menarik sokongan terhadap Mahiaddin, namun tidak disertai arahan meletak jawatan dan kemestian mengundi dalam Parlimen mengikut kehendak parti, bukan saja menjadikan ketetapan itu tidak bermakna, bahkan umpana lawak jenaka mega.

Apa gunanya menarik sokongan terhadap Mahiaddin jika Ahli Parlimennya tetap diberi kebebasan dan tidak dihalang untuk menyokong Perdana Menteri?

Apa nilai parti yang tinggal akhirnya dalam keinginan untuk menumbangkan Mahiaddin kalau ia tidak disertai kewajipan patuh atau akur dengan keputusan yang telah dimuktamadkan tidak lagi menyokong Perdana Menteri?

Dalam hal ini, sebelum lebih teruk diketawakan, ada baiknya Zahid Hamidi dan MT UMNO batalkan saja keputusan menarik sokongan terhadap Mahiaddin itu.

Membuat keputusan menarik sokongan yang bertujuan menjatuhkan Mahiaddin, tapi tidak disertai dengan arahan meletak jawatan dan kemestian kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO untuk patuh kepada ketetapan parti hanya menjadikan keputusan MT tidak berguna apa-apa dan umpama kupang tembaga.

Bukan saja Mahiaddin terus boleh ketawa dengan keputusan karut itu, malah Annuar Musa dan Shahidan Kassim pun rasa-rasanya tak henti-henti mengekek mentertawakannya.


 (ShahbudinHusin 09/07/2021)