Krisis perlembagaan, melainkan Muhyiddin uji sokongan Ahli Parlimen, kata peguam

 

Muhyiddin Yassin mesti membuktikan beliau masih mempunyai majoriti, atau memaklumkan Agong bahawa bloknya telah runtuh, kata peguam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Negara ini akan menghadapi krisis politik dan perlembagaan jika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin gagal menguji sokongan terhadapnya di Dewan Rakyat selepas hilang sokongan Umno.

Begitu pandangan dua peguam, pakar perlembagaan Bastion Pius Vendargon dan Rafique Rashid Ali.

Menurut mereka, Muhyiddin tidak boleh mengetepikan keputusan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi malam tadi yang menarik sokongan parti itu terhadapnya sebagai perdana menteri.

Vendargon berkata, Muhyiddin juga mungkin perlu memanggil sidang tergempar Parlimen untuk menguji sokongan terhadapnya.

Tambahnya, Ahli Parlimen Umno tidak perlu menandatangani akuan berkanun sama ada menyokong atau menolak Muhyiddin.

“Pengumuman Umno itu kekal, melainkan Ahi Parlimen parti menyatakan tidak bersetuju dan sanggup membelakangkan arahan parti,” katanya.

Susulan itu, buat masa ini Muhyiddin perlu mengadakan sidang tergempar Parlimen untuk menguji sokongan terhadapnya.

“Jika tidak, negara ini akan menghadapi krisis politik dan perlembagaan,” katanya.

Katanya, mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin perlu menyerahkan peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong jika tidak lagi mempunyai majoriti di Parlimen, selain menasihatkan baginda mengadakan pilihan raya atau melantik perdana menteri sementara.

Sementara itu, Rafique bersetuju Muhyiddin tidak boleh menutup mata terhadap keputusan Umno menarik sokongan, kerana ini mampu mengakibatkan krisis perlembagaan pada saat negara sedang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.

Mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, Rafique berkata Peguam Negara Idrus Harun mempunyai kewajipan menasihatkan kerajaan dan Agong jika seorang perdana menteri hilang sokongan majoriti.

Rafique berkata, kini ada 77 Ahli Parlimen kerajaan susulan keputusan Umno menarik sokongannya.

Mengikut Institut Darul Ehsan, pembangkang kini mempunyai 143 Ahli Parlimen iaitu Umno (38), PKR (36), DAP (42), Amanah (11), Warisan (lapan), Pejuang dan Muda (lima), Parti Sarawak Bersatu (dua) serta UPKO (satu).

Mereka yang di dalam kerajaan adalah Bersatu (32), PAS (18), Star (satu), bebas (tiga), MIC (satu), MCA (dua), PBRS (satu), PBS (satu) dan Gabungan Parti Sarawak (18).

Menurut Rafique, Muhyiddin berdepan keadaan sama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tahun lalu.

Mahathir menggunakan Perkara 43 (4) Perlembagaan dan meletak jawatannya serta Kabinetnya, kata Rafique.

“Muhyiddin perlu memaklumkan Agong bahawa bloknya telah runtuh seterusnya sama ada membubarkan Parlimen atau membuktikan beliau masih mempunyai sokongan majoriti,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya Muhyiddin juga boleh mendapatkan sokongan Ahli Parlimen secara peribadi dan bukan menerusi parti.

Ini, katanya, mampu membuahkan “gabungan baharu berasaskan sokongan Ahli Parlimen secara individu.”

Muhyiddin boleh menguji sokongannya menerusi usul percaya di Dewan di bawah Peraturan 11 (3) Peraturan Majlis, katanya.

“Beliau boleh bertindak segera tanpa perlu menunggu sesi persidangan 26 Julai, atau mengambil jalan tengah dan meletak jawatan,” katanya.

Seorang lagi pakar perlembagaan, Gurdial Singh, berkata di bawah Perkara 43 (4) Muhyiddin wajib meletak jawatan jika terbukti beliau telah hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Sebaik jelas Muhyiddin hilang majoriti, Perkara 43 (4) terpakai iaitu perdana menteri meletak jawatan,” katanya.

Katanya, mengikut Perkara 43(1), Yang di-Pertuan Agong lazimnya akan memanggil parti kedua terbesar untuk membincangkan siapa yang akan menjadi perdana menteri baharu.

Jika tiada satu parti yang jelas memiliki majoriti bagi mentadbir kerajaan, Gurdial berkata parti terbesar boleh mewujudkan gabungan untuk mendapatkan bilangan diperlukan.

Gurdial juga berkata, Muhyiddin boleh menguji sokongan terhadapnya menerusi usul percaya di Parlimen.

No comments: