Umno hanya setuju bentuk ‘kerajaan sementara’ dengan Bersatu, kata Najib


Najib Razak berkata ia adalah kesilapan besar yang menghalang pilihan raya umum diadakan, walaupun sudah diberi kuasa penuh darurat selama tujuh bulan.

PETALING JAYA: Najib Razak berkata melihat ketidakstabilan politik yang berlaku tahun lalu Umno hanya bersetuju membentuk kerajaan sementara dengan Bersatu, berdasarkan syarat pilihan raya umum diadakan dalam tempoh setahun.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia susulan tuntutan mereka supaya Parlimen dibubarkan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, Februari lalu.

Bagaimanapun, Umno tidak menyangka pengendalian Covid-19 kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin teruk dengan pelbagai kesilapan yang berulang.

Najib berkata, ia adalah kesilapan besar yang menghalang pilihan raya umum (PRU) diadakan, walaupun sudah diberi kuasa penuh darurat selama tujuh bulan.

“Seolah-olah kesilapan ini disengajakan,” katanya di Facebook.

Najib menjelaskan mengapa Umno memutuskan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan mencadangkan kerajaan interim mengambil alih pentadbiran selama tiga hingga enam bulan bagi mengatasi Covid-19.

Beliau turut menyertakan video pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS dari Februari 2020, yang mana mereka meminta Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya dan mengembalikan mandat rakyat susulan ketidaktentuan politik ketika itu.

Najib berkata, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dua hari lalu sama dengan pendirian parti itu tahun lalu.

Katanya, Umno memahami negara kini berdepan dua masalah utama yang mencabar, iaitu rakyat telah berkurung tanpa pendapatan hampir enam bulan.

Menurutnya, rakyat sudah hilang keyakinan terhadap usaha kerajaan PN untuk membendung Covid selepas kegagalan bersiri perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Paling mengejutkan ialah majoriti rakyat percaya bahawa usaha kerajaan untuk lawan Covid mempunyai muslihat politik tersembunyi dengan matlamat untuk memanjangkan krisis untuk kekalkan kuasa.

“Kedua, sebuah kerajaan digelar pintu belakang yang tak stabil dengan majoriti tipis yang terbina atas pengkhianatan dan kuasa katak – bukan kuasa rakyat,” katanya.

Najib berkata, keadaan ini tidak boleh berterusan dan beliau mendesak kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk membina kerajaan kukuh dan kompeten.

“Dipilih rakyat adalah satu-satunya sahaja pilihan untuk menyelesaikan kedua-dua masalah utama di atas,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu secara rasmi menarik sokongannya terhadap Muhyiddin dan meminta beliau berundur.

No comments: