'Bukan Datuk Seri datang rumah saya' - Natrah

 



Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang didakwa dalam kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditawarkan RM10 juta menafikan beberapa perkara yang tidak tepat mengenai kenyataannya.



Menurut Natrah, kebanyakan isu yang tular mengenai cubaan memujuk beliau menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan datang dari beliau sendiri, tetapi direkayasa di Facebook dan sebagainya.



"Berita yang menyatakan ada orang datang rumah saya buat tawaran dan sebagainya itu tak betul.



"Saya pun tak tahu datang dari mana. Ada orang datang rumah saya. Kawan baik saya tetapi tak ada kaitan dengan apa yang saya buat dalam press statement dulu pada 4 Mac.



"Ramai orang menghantar kepada saya, mungkin diambil dari FB dan sebagainya. Seorang Datuk, dia hanya Datuk, bukan Datuk Seri," katanya seusai sidang media di Hotel Eastin, Petaling Jaya semalam.



Oleh itu, beliau berharap SPRM akan menjalankan tugasnya menyiasat dengan sebaik-baiknya tanpa mengambil kira kenyataan-kenyataan yang tidak benar di sekeliling kesnya.



"Saya rasa, saya tidak perlu ulas panjang-panjang perkara ini sebab saya pun telah beri kenyataan di SPRM Segamat dan segalanya sudah lengkap.



"Percakapan itu telah saya berikan kepada SPRM dan saya tidak mahu lagi ada spekulasi. SPRM saya percaya akan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik tanpa prejudis," katanya lagi.