Kedah dapat pelaburan RM68 bilion sejak PN memerintah? Berita palsu

 




Kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nurul Amin Hamid yang mengatakan kerajaan negeri Kedah meraih nilai pelaburan sekitar RM68 bilion sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih daripada Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah berita palsu.



Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah pun mengenal pasti jumlah pelaburan yang diperoleh di setiap negeri dan mendapati Kedah tidak tersenarai dalam lima negeri yang mendapat pelaburan tertinggi.



Bukan itu sahaja, Kedah langsung tidak meraih RM68 bilion seperti yang diuar-uarkan oleh ketua pemuda PAS itu.



"Ada yg bertanya betul ke angka pelaburan yang masuk ke Kedah sebesar RM68 bilion? Angka itu disebut oleh Nurul Amin Hamid.



"Sumber rasmi yang sering dirujuk jika berkait pelaburan ialah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Ini perkara asas untuk siapa sahaja yang ingin tahu tentang info pelaburan.



"Pelaburan asing, pelaburan domestik, pelaburan mengikut sektor, pembuatan, perkhidmatan dan lain-lain. Jumlah projek dan peluang kerja yang diwujudkan. Prestasi pelaburan mengikut negeri pun ada. Pendek kata info di hujung jari," katanya.



Justeru, Saifuddin menyemak laporan MIDA 2021 dan ia sekali gus menyangkal dakwaan Nurul Amin.



"Prestasi pelaburan Malaysia untuk 2020 jumlahnya RM164 bilion. 5 negeri tertinggi menarik pelaburan ialah Selangor, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.



"Selangor mencatat RM38.7bilion dan Pulau Pinang RM16 bilion. Kedah tidak tercatat 5 negeri teratas. Apalagi RM68bilion!" katanya.

 

No comments: