POSTED BY AMIR WRLR
Lima pemimpin dari Asia Tenggara termasuk Ketua Pembangkang
Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ASEAN supaya membentuk visi baharu
bagi menamatkan tindakan tentera membunuh rakyat di Myanmar.
Dalam satu kenyataan, mereka berpendapat walaupun rakyat ASEAN
bercita-cita menuju wilayah yang aman dan demokratik yang menghormati hak asasi
manusia, kerajaan ASEAN gagal menangani masalah tersebut secara berkesan
sehingga berlakunya krisis di Myanmar.
"Sementara penunjuk perasaan pro-demokrasi Myanmar yang
berani dibunuh oleh junta tentera, semua kerajaan ASEAN menunjukkan kurangnya
kehendak politik dan kesatuan untuk menekan junta tentera untuk menamatkan
pembunuhan itu.
"Kejadian di Myanmar menunjukkan, sekali lagi, ketidakmampuan
kerajaan ASEAN dalam menangani krisis serantau. Selama beberapa dekad, kerajaan
ASEAN secara konsisten gagal melindungi rakyatnya dari satu krisis ke krisis
yang lain, termasuk pencemaran jerebu lintas negara, bencana kemanusiaan
Rohingya, dan pelbagai pelanggaran hak asasi demokratik dan hak asasi manusia.
"Kerajaan ASEAN sering menggunakan doktrin tidak campur
tangan. Doktrin ini mungkin diperlukan pada masa lalu, tetapi ia menjadi
penghalang utama pembangunan demokrasi yang bersifat proaktif dan melindungi
hak asasi rakyat ASEAN," katanya.
Justeru, mereka menuntut supaya kerajaan ASEAN meninggalkan
doktrin lama iaitu tidak campur tangan dan meneruskan pendekatan baharu iaitu
penglibatan yang membina dan kritikal, dengan pilihan untuk mengenakan sekatan
perdagangan dan ekonomi ke atas junta tentera Myanmar.
"Semua kerajaan di ASEAN harus bersatu dan memberikan mesej
yang tegas kepada junta tentera Myanmar untuk segera membebaskan semua tahanan
politik, untuk memulihkan keadaan politik di Myanmar seperti sebelum kudeta 1
Februari 2021 dan menghormati suara rakyat pada pilihan raya umum Nov 2020.
"Semua orang yang bertanggungjawab atas pembunuhan orang yang
tidak bersalah juga harus didakwa dan dibawa ke muka pengadilan. Kerajaan ASEAN
mesti bersatu dan menggantung keanggotaan Myanmar dalam ASEAN dan seterusnya
mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi yang disasarkan terhadap junta
tentera dan rakan-rakan mereka," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Pembangkang
Malaysia, Anwar Ibrahim; Ketua Pembangkang Kemboja, Sam Rainsy; Ahli Parlimen
Jakarta Barat dari Indonesia Dr Fadli Zon, Senator dan Pengerusi Majlis Liberal
Asia dan Demokrat Filipina, Kiko Pangilinan; bekas ahli Parlimen Singapura,
Charles Chong dan bekas Menteri Dalam Negeri Thailand, Kasit Piromya.