Kedua-dua tokoh ini dikenali kerana Anwar Ibrahim. Tiada siapa
boleh menafikan fakta ini. Jika ada yang mengatakan inilah sosok tubuh yang
digeruni oleh musuh selepas Anwar, jawapan saya adalah tepat sekali.
Ezam pahlawan dizamannya. Rafizi adalah hero dieranya.
Perjalanan sepanjang perjuangan mereka penuh ranjau dan duri. Ezam mengepalai
Pemuda Keadilan di awal reformasi manakala Rafizi meneruskan kesinambungan
perjuangan Ezam apabila Ezam meninggalkan bosnya Anwar Ibrahim dan menjadi
seteru di pentas politik suatu ketika.
Rafizi telah menyumbangkan begitu banyak jasanya kepada parti
sehinggakan beliau terlalai tentang kenikmatan berumahtangga. Banyak masanya
dihabiskan bagi menjelajah ke pelusuk tanahair bagi membawa mesej kepada rakyat
betapa kerajaan Umno/Bn ketika itu wajib ditumbangkan.
Ezam menyertai Umno, kemudiannya dilantik sebagai Senator dan
kemucaknya menjadi orang penting di Kementerian Kewangan sebagai Pengarah
Komunikasi Kementerian Kewangan, betul-betul bekerja di sebelah Najib, PM dan
Menteri Kewangan ketika itu. Jika mahu hidup senang lenang, tempat ini amat
sesuai untuk Ezam. Bayangkan jika Zahid Md Arip hanya menjadi pegawai kepada
Pengerusi Felda Isa Samad pun boleh berurusan dengan duit tunai di dalam beg,
ini kan pula berada di pejabat PM dan Menteri Kewangan. Bukankah di situ lubuk
duit?
Ezam tidak memilih jalan itu. Apabila Ezam menyedari ada sesuatu
yang tidak kena di Pejabat PM dan Menteri Kewangan ketika itu, beliau
mengundurkan diri dan mula bercakap tentang isu Skandal 1MDB. Tidak tahan
melihat kerosakan yang berlaku, Ezam dengan berani menyaman PM, Najib Razak, orang
yang melantik beliau bekerja di Kementerian Kewangan. Jangan lupa, Ezam melawan
Najib ketika Najib sedang berkuasa bukannya setelah Najib jatuh. Sebelum itu,
beliau masih ada berbaki setahun dua lagi kontrak untuk terus menikmati gaji
yang tidak kurang besarnya dengan menteri di Kementerian Kewangan, namun Ezam
meletakkan jawatan bukan dipecat seperti Muhyiddin.
Usaha Rafizi yang gigih tanpa mengenal penat lelah, berhabisan
wang ringgit di dalam simpanannya, memerah otak dan pemikirannya dengan
mengatur berbagai strategi melalui INVOKE, akhirnya membuahkan hasil. Namanya
harum sebagai wira rakyat yang telah membawa kemenangan PH pada PRU14 yang
lalu. Maaf, bukan kerana Mahathir. PH menjadi kerajaan dan Rafizi bukan lagi
Wakil Rakyat jauh sekali sebagai menteri selepas kemenangan itu.
Selepas kemenangan PH, Rafizi mula fokus untuk membetulkan parti
dari kerosakan yang dilakukan oleh kumpulan 'kartel'. Beliau mencabar bapak
kartel iaitu Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden Keadilan. Azmin ketika itu
dipelihara oleh PM, Mahathir yang telah melantiknya sebagai Menteri Ekonomi
meskipun nama Azmin bukan pilihan parti untuk jawatan menteri kanan itu.
Pengaruh di dalam kerajaan sebagai menteri ekonomi dan kekuatan wang ringgit
yang ada pada Azmin, ditambah pula ramai ahli parti yang tidak terfikir agenda
Azmin, maka Azmin menang dengan begitu tipis sekali. Apabila tewas di dalam
sahanya untuk menghapuskan kartel di dalam parti, Rafizi akhirnya mengambil
keputusan untuk berehat bersama keluarga. Mungkin beliau mahu memberi peluang
kepada tenaga-tenaga muda yang lain untuk mempamerkan kebolehan masing-masing
di dalam parti. Mungkin juga beliau kecewa kerana kartel terus bermaharajalela
di dalam parti.
Apabila Rafizi menyepikan diri dan kartel semakin galak di dalam
parti dan kerajaan ditambah pula dengan sikap pecah dan perintah Mahathir
sebagai PM, maka Ezam terpaksa kembali memakai tanjak dan keris hulubalang yang
begitu lama beliau simpan. Memang ketika itu tiada sesiapa pun yang bergerak
untuk menyedarkan kita tentang agenda Mahathir dan kartel di dalam kerajaan.
Semua pakat menanti giliran Anwar untuk menggantikan Mahathir seperti yang
dijanjikan. Ezam telah dapat menghidunya apabila Mahathir bersama pimpinan Umno
dan Pas berada di dalam program Maruah Melayu yang meminggirkan Anwar.
Inilah mulanya Ezam menyusun langkah mengembalikan semula Gerak
yang diasaskan pada tahun 1998 oleh Almarhum Ustaz Fadzil Nor, Presiden Pas
waktu itu. Maka, Gerak98 ditubuhkan oleh Ezam dan beliau mula bercakap tentang
muslihat Mahathir dan kartel. Pendedahan demi pendedahan dibuat oleh Ezam di
sepanjang jelajah Gerak98 di seluruh negeri sehinggalah berlakunya 'Langkah
Sheraton' yang menjadi sejarah pengkhianat terbesar yang pertama di dalam
negara ini di mana kerajaan mandat rakyat telah dirampas.
Maka, benarlah kata Rafizi tentang 'kartel' yang sebelum ini
tidak ramai yang percaya. Betullah kata Ezam tentang kediktatoran Mahathir akan
menjahanamkan kerajaan PH. Tepatlah kata Ezam bahawa mustahil Mahathir mahu
menerima Anwar sebagai penggantinya kerana diktator tidak pernah bersetuju
dengan reformasi. Musuh seorang diktator adalah reformis. Sejarah mencatatkan
kisah seorang PM telah berjaya menjatuhkan kerajaannya sendiri tanpa dipaksa,
disuruh, didesak bahkan tanpa undian tidak percaya di Parlimen sekalipun.
Betapa jahatnya Mahathir!!
Apakah kita bakal melihat kedua tokoh ini, Rafizi dan Ezam
bergandingan untuk menebus kembali maruah rakyat yang telah dicabuli oleh
pengkhianat sekarang? Jika kamu tidak suka Rafizi yang telah menyepikan diri
selama ini, apakah kamu telah ke hadapan menggantikannya? Jika kamu benci
dengan Ezam yang kini aktif bergerak ke sana sini membawa nama Anwar Ibrahim
dan reform, apakah kamu mampu melaksanakan seperti beliau? Apakah cukup hanya
kita berharap Anwar akan jadi PM seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba?
Saya selalu berdoa agar idola saya Rafizi akan kembali bersama
kita. Saya selalu berdoa juga agar Ezam terus istiqomah di dalam perjuangannya
membantu Anwar Ibrahim. Rafizi berundur dan berehat setelah tugasnya
memenangkan PH selesai. Ezam pula muncul disaat Anwar ditekan dari luar dan
dalam. Saya tidak akan bersama Ezam jika Ezam muncul ketika Anwar dipuncak
kuasa. Saya yakin dengannya kerana beliau muncul ketika kita sedang sukar.
Mahathir muncul dengan kita sewaktu kita diambang kemenangan, beliau masuk
basuh kaki dan terus jadi PM dan beliau khianati kita ketika kita sedang
berkuasa.
Saya cuma boleh berharap dan saya tahu tulisan saya ini tidak
akan digemari oleh ramai orang termasuk pimpinan. Hari ini adalah hari
ulangtahun saya, mudah-mudahan Allah tidak mengambil nyawa saya sebelum Anwar
menjadi PM. Hadiah istimewa yang saya impikan hari ini adalah gandingan Rafizi
- Ezam. Semoga dimakbulkan.
WFAUZDIN NS