Mengapa Parlimen kekal ditutup walaupun Agong benarkan sidang? - Shamsul Iskandar

 




Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menutup Parlimen terus dipersoalkan.

Terbaharu, dalam forum Sinar Harian malam tadi, Ketua Penerangan KEADILAN Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menjawab pertanyaan moderator mengenai isu darurat dan penutupan Parlimen dengan satu pantun sinis.



"Saya nak jawab dengan pantun. Saya Ahli Parlimen dari Melaka (yang terkenal dengan budaya pantun).



'Giat membeli pimpinan parti,

Disogok jawatan tindakan keparat,

Kalau yakin punyai majoriti,

Mengapa berselindung di sebalik darurat'



"Saya tujukan kepada kerajaan PN kerana darurat ini digunakan sebagai smoke screen dan seperti mana kita tahu komen netizen dan sebagainya di media sosial, semua sektor telah dibuka tetapi Parlimen yang nama lainnya Dewan Rakyat tidak dibuka.

"Ini merupakan satu perkara yang amat pelik dan jelek. Mengapa Parlimen tempat kita membahaskan isu-isu rakyat masih ditutup?" katanya dalam forum Wacana Sinar bertajuk Dakwaan Sogok Ahli Parlimen: Strategi Atau Terdesak?.

Bagi Shamsul, fungsi Parlimen jelas untuk wakil rakyat membahaskan isu-isu terkait kepentingan rakyat dan boleh juga menentukan keabsahan kerajaan memerintah.

Katanya, sekiranya Ahli Parlimen telah diberi vaksin maka tidak timbul lagi isu berkumpul di dalam Dewan Rakyat akan menyebabkan jangkitan Covid 19.

"Ahli-ahli Parlimen dianggap barisan hadapan kerana kita hampir setiap minggu bertemu rakyat dan kesemua akan mendapat vaksin. Dan kita boleh bahas di Parlimen (selepas itu), Parlimen boleh dibuka. Saya mendapat maklumat secara jelas dari menteri menjaga Parlimen bahawa Parlimen itu akan kekal ditutup walaupun Yang di-Pertuan Agong menyatakan dalam masa darurat Parlimen boleh bersidang.

"Berbalik kepada persoalan tadi, ini (tutup Parlimen) dianggap sebagai satu strategi untuk kerajaan kekal berkuasa menggunakan alasan darurat menutup Dewan Rakyat untuk tidak membolehkan anggota dewan menggunakan kesempatan yang absah menyuarakan pendapat, dan kalau perlu dijadikan tempat untuk menguji keabsahan kerajaan. Itulah tempatnya.

"Saya ingin tegaskan, sewajarnya institusi demokrasi itu mesti dipertahankan," katanya lagi.

Untuk rekod, sehingga hari ini hampir 3 bulan Parlimen ditutup sejak 11 Januari lalu berikutan perisytiharan darurat. Sepanjang tempoh itu pelbagai pihak, termasuk parti politik dan NGO telah menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong agar menamatkan darurat atau membenarkan sidang Parlimen dilaksanakan bagi meluluskan undang-undang secara bahas.




No comments: