Tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang terus-menerus cuba
memujuk Ahli Parlimen KEADILAN menyokong Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin
disifatkan sebagai tidak beradap oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari
Abdul.
Apatah lagi, katanya ketika parti pembangkang memberi sokongan
penuh kepada kerajaan dalam usaha melawan Covid 19 dan mengurangkan penderitaan
rakyat.
"Beberapa Ahli Parlimen telah dihubungi orang tertentu yang
mengaku diri mereka bercakap bagi pihak PM atau menteri kanan atau bagi pihak
pemerintah memujuk supaya meninggalkan KEADILAN dan memberikan sokongan kepada
PM Muhyiddin serta tawaran wang ringgit.
"Ini kita kira tidak beradap, pada waktu kita cuba memberikan
sokongan kepada kerajaan dalam usaha menyelesaikan masalah Covid 19 tetapi
kerajaan sendiri mengambil sikap membiarkan keadaan mengugut dan memujuk Ahli
Parlimen KEADILAN berterusan.
"Dilaporkan 4 Ahli Parlimen dipujuk dan diugut seperti Padang
Serai, Sekijang, Putatan dan juga Sungai Siput. Saya difahamkan ada beberapa
orang lain. Ini tindakan biadap ketika rakyat menderita, Parlimen tidak
bersidang tetapi kerajaan membiarkan benda ini.
"Kalau sekiranya hal ini berterusan ia membuktikan kerajaan
desperate, tidak mempunyai jumlah yang cukup untuk memerintah negara,"
katanya selepas pertemuan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN di Hotel Eastin, Petaling
Jaya, semalam.
Menurut Johari lagi, pertemuan tersebut jelas memperlihatkan
kepada seluruh negara sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti
Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berlakunya pengkhianatan 3 Ahli Parlimen
sebelum ini.
Selain itu, kata Johari, Anwar dalam pertemuan itu juga memberi
penerangan mengenai hubungan semasa KEADILAN dan parti-parti lain menjelang
Pilihan Raya Umum ke 15.
"Kami Ahli Parlimen memberikan komitmen yang tidak berbelah
bahagi kepada perjuangan parti dan kami memberi sokongan kepada presiden Datuk
Seri Anwar untuk terus berusaha bagi memastikan bukan sahaja KEADILAN mantap
tetapi berikan sokongan agar beliau terus berusaha untuk mendapatkan balik
kerajaan ini di samping kita membuat persiapan mengahadapi PRU akan datang.
"Kedua, beliau memberi penerangan kepada kami tentang
perbincangan yang lakukan bersama-sama pimpinan, termasuk pimpinan Umno bagi
melihat apakah kerjasama yang boleh kita buat bagi membangunkan negara ini.
"Sebab itu beliau menjelaskan bahawa perkara yang
dipersetujui pada peringkat awal ini bagaimana kita dapat kembalikan kedudukan
ekonomi, terus membina kekuatan agar rakyat mendapat hak mereka dan apa yang
termaktub dalam Perlembagaan didukungi bersama," katanya