Annuar Musa ingatkan Umno, tak perlu jatuhkan pihak lain

 Annuar Musa ingatkan Umno, tak perlu jatuhkan pihak lain


UMNO tidak harus meletakkan dirinya dalam kedudukan hendak menjatuhkan satu pihak yang lain, kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Berbicara dalam program Kerusi Panas yang disiarkan secara langsung di TV Pertiwi, malam ini, Annuar berkata, tindakan itu hanya akan mengundang rasa benci rakyat pada parti.

“Rakyat akan melihat bahawa kita tidak fokus pada ‘delivery’, kita tidak fokus pada agenda rakyat. Kalau kita jatuh menjatuh rakyat akan benci pada kita. Kerana kita berpolitik terlalu berlebihan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan supaya UMNO tidak memandang rendah pada pihak lawan kerana tiada siapa yang mengetahui strategi mereka.

Kesilapan percaturan hanya akan menyebabkan kerugian pada parti dan juga politik Melayu dan Islam, katanya.

“Politik macam silat. Kalau kita atur strategi nak jatuhkan orang, kita cuma tahu strategi kita. Satu benda kita kena ingat, jangan kita underestimate orang. Kita tak tahu pukulan sebelah lawan. 

“Jangan kita andaikan cara kita sahaja yang boleh berlaku. Nak jatuhkan satu kerajaan bukan mudah. Tanpa kita fikirkan apa yang pihak lawan boleh lakukan. UMNO tak perlu ambil pendekatan itu. Itu boleh menghancurkan kita.

“Kalau satu pihak yang kita tolak itu mendapat satu formula yang memungkinkan kita terpelanting daripada arus kuasa. Jadi rugilah,” katanya.

Justeru, Annuar berkata, pada hematnya, parti Melayu Islam perlu fokus untuk berada dalam tampuk kekuasaan berdasarkan prinsip perkongsian dan bukan menjatuhkan antara satu sama lain.

“UMNO tak perlu mengambil pendekatan sedemikian, kuasa sebegitu kita beri pada rakyat. 

“Sewajarnya bila kerajaan sudah terbentuk, elok kita tumpukan agenda rakyat, tambah pula keadaan sekarang banyak kita perlu beri perhatian dan harapan di luar sana banyak kepada kita. 

“Jika kita bercakap pasal politik sepanjang masa, ia akan meletakkan kedudukan kita tidak elok di kaca mata rakyat. Sedangkan kita akan kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat. Jadi saya harap parti kita kurangkan ‘politicking,” katanya. 



No comments: