BETULKAH PN MANTAP ? ATAU SEKADAR MEMBODEK ?

 

PN dijangka lebih mantap dengan sokongan lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang

Sokongan Ahli Parlimen pembangkang yang lompat parti akan meningkatkan keyakinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN untuk mengadakan sidang Parlimen, kata penganalisis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penganalisis politik yakin tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Atory Hussain

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, sokongan mereka akan meningkatkan keyakinan Muhyiddin dan PN untuk mengadakan sidang Parlimen tanpa digugat usaha pembangkang membawa usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

“Jika sokongan ini menjadi kenyataan, maka Muhyiddin akan memperoleh hampir 120 undi majoriti di Parlimen,” kata beliau kepada FMT.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mendakwa akan ada lagi Ahli Parlimen yang bakal mengikut jejak langkah bekas naib presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, meninggalkan PH.

Annuar, yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau difahamkan seramai tujuh atau lapan orang lagi “kawannya” memberi petunjuk bersedia menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN.

Beliau berkata, kebanyakan Ahli Parlimen berkenaan bercadang bertindak sedemikian berikutan prestasi cemerlang kerajaan PN, khususnya dalam menangani wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Atory berkata, di pihak PKR pula, tentunya pengaruh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, dan sokongan terhadapnya sudah mula merosot.

Maka tidak hairanlah beliau sedia bekerjasama dengan Umno demi kelangsungan politiknya, tambah Atory.

Awang Azman Awang Pawi

Sementara itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, kelompok ahli PKR yang keluar adalah daripada rangkaian bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau baharu, malah sudah dijangka lama, dan hanya menunggu masa yang sesuai mengikut fasa dan keperluan politik semasa, serta ketahanan prinsip mereka sebagai ahli pembangkang, tambah Awang Azman.

Namun, kata beliau, situasi seperti itu dapat dianggap sebagai “pembersihan dalaman” PKR sendiri untuk menyaring mereka yang setia, tahan uji dan mampu mendukung perjuangan parti.

“Tindakan keluar PKR ini berjaya membuka laluan kepada pemimpin muda yang lebih berintegriti dan setia dalam PKR untuk ambil alih dan main peranan proaktif dalam parti.

“Ini membuka peluang PKR menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang kerana akan ada muka baru yang mampu memadamkan kemarahan rakyat terhadap pemimpin PKR sebelum ini yang banyak dikaitkan dengan kartel politik yang melawan kepemimpinan Anwar,” kata beliau.

Awang Azman berkata, berkenaan dakwaan PN berprestasi tinggi ketika wabak Covid-19 melanda dan keadaan ekonomi yang sukar di negara ini, hanya rakyat sendiri lebih berhak menilai, bukannya orang politik berkepentingan yang boleh dicop sebagai “masuk bakul, angkat sendiri”.



No comments: