LOMPAT PARTI UMPAMA BUNUH DIRI SENDIRI.


 Bersatu dan PN tanpa keraguan lagi akan tercatat dalam sejarah sebagai parti dan kerajaan yang didalamnya paling banyak dianggotai oleh pelompat serta pengkhianat.

Dalam PRU14 lalu, calon Bersatu yang bertanding atas tiket PH serta menggunakan logo PKR cuma menang 13 kerusi daripada 52 kawasan Parlimen yang ditandinginya.

Sejumlah 16 Ahli Parlimen UMNO dan BN telah melompat menyertai Bersatu kemudiannya.

Daripada PKR pula, seramai 14 Ahli Parlimen parti itu turut melompat menyertai Bersatu secara berperingkat-peringkat.

Dengan jumlah 30 Ahli Parlimen ‘katak’ yang ada dalam Bersatu, sementara Ahli Parlimen asal Bersatu cuma 6 orang saja yang mengikut Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan PN, manakala 4 kekal bersama Tun Mahathir Mohamad dan dua lagi iaitu Dr. Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak terikat kepada mana-mana pihak, ini bermakna kedudukan Bersatu lebih didominasi oleh golongan pelompat dan pengkhianat berbanding anggota asalnya

Tetapi, jika diambil kira kedudukan Muhyiddin Yassin sendiri bersama 6 Ahli Parlimen Bersatu yang bersamanya dalam kerajaan PN sekarang adalah juga melompat daripada wadah PH yang memenangkannya pada PRU14 lalu untuk membentuk PN, ertinya semua Ahli Parlimen Bersatu sekarang adalah pelompat dan pengkhianat belaka.

Tidak ada dalam dunia ini pernah wujud sebuah parti yang sehodoh serta sejelik ini kedudukannya dalam membentuk kerajaan dan seterusnya tidak malu pula mengaku mereka kononnya berjuang untuk rakyat dan negara.

Realitinya, semua mereka ini langsung tidak berjuang untuk rakyat dan negara, sebaliknya hanya berjuang untuk tembolok dan perut sendiri semata-mata.

Sebab itu kerajaan PN ini adalah kerajaan paling caca-marba, huru-hara dan tidak stabil serta tiada hala tuju yang jelas ke mana mahu dibawanya negara ini.

Keutamaannya hanyalah untuk kuasa, kuasa dan kuasa sehingga setelah kehilangan majoriti pun, usaha terus dilakukan untuk mempertahankan kuasa, termasuk dengan mencadangkan darurat.

Kemudian itu, walaupun PN adalah kerajaan dengan segala kuasa yang ada dan berjaya membawa pelompat demi pelompat untuk bersamanya, kedudukannya sama sekali tidak bertambah kukuh dan tenang.

Sebaliknya, PN semakin dibelenggu banyak isu yang membuatkan rakyat kian hilang keyakinan terhadapnya.

Rasa tidak stabil dan tidak senang dengan kedudukan sendiri terus menghantui Bersatu dan PN, meskipun mereka boleh berbangga kerana berjaya ‘membeli jiwa’ beberapa Ahli Parlimen untuk mengukuhkan kedudukannya.

Kejayaan membawa masuk lebih ramai pelompat dan pengkhianat sekadar cuma berjaya menangguhkan kejatuhan PN saja, tetapi tidak berupaya memperkasakan kedudukan kerajaan itu sendiri.

Lebih daripada itu, sentimen rakyat dalam menolak pelompat dan pengkhianat ini juga cukup jelas dan ketara sekali.

Rata-rata berkeyakinan pelompat dan pengkhianat ini akan ditolak dalam PRU akan datang dan mereka tidak berupaya mempertahankan kedudukan masing-masing lagi.

Ada laporan mengatakan, kedudukan Muhyiddin di Pagoh sendiri tidak lagi selamat dalam PRU akan datang, kecuali jika UMNO sedia membuat pusingan U untuk bekerjasama semula dengan Bersatu.

Namun, sehingga ini UMNO kekal dan tetap dengan keputusan enggan bekerjasama dan menolak sebarang perundingan lanjut dengan Bersatu.

Lalu, apa terjadi kepada semua pelompat dan pengkhianat ini?

Sebenarnya, tindakan pelompat dan pengkhianat ini menyeberang parti untuk menyertai Bersatu dan menyokong PN, walaupun beroleh jawatan dan kedudukan, ia juga umpama tindakan ‘bunuh diri’ dalam karier politik masing-masing.

Pengkhianatan mereka terhadap mandat yang diberikan rakyat, walaupun pengundi tidak mampu menarik balik undi mereka sebagaimana wakil rakyat terbabit senang-senang menukar kiblat politik untuk melompat dan bersikap khianat, hukumannya pasti menunggu dalam PRU15 akan datang ini. (Shahbudindotcom 16/03/2021)