SPRM buat laporan polis ke atas Raja Petra kerana kebocoran bukti, kata sumber



DAP Pulau Pinang mendakwa SPRM membuat laporan terhadap Raja Petra Kamaruddin pada Mac 2019, selepas blogger itu memuat naik ‘dokumen palsu dengan dakwaan tidak berasas’ berkaitan projek terowong dasar laut.
PETALING JAYA: Satu laporan polis yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap blogger Raja Petra Kamaruddin tahun lalu mengenai kebocoran bukti projek terowong dasar laut Pulau Pinang, kata sumber kepada FMT.
Sumber itu berkata, laporan itu bukannya berkaitan dokumen palsu, tetapi disebabkan “kebocoran bukti”.
Raja Petra Kamaruddin
Ini menyusul DAP Pulau Pinang hari ini mendakwa SPRM membuat laporan terhadap Raja Petra pada Mac 2019 selepas blogger itu memuat naik “dokumen palsu dengan dakwaan tidak berasas” berkaitan projek terbabit.
Katanya, projek itu dipolitikkan musuhnya untuk mencemarkan nama baik parti berkenaan dan kerajaan negeri yang diketuainya.
Raja Petra membuat pendedahan yang didakwanya berdasarkan dokumen dibocorkan daripada projek itu, membabitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang ketika projek itu dimulakan, serta beberapa exco, termasuk Ketua Menteri sekarang, Chow Kon Yeow, Abdul Malik Abul Kassim dan Lim Hock Seng.
Guan Eng yang memfailkan saman fitnah terhadap Raja Petra pada 6 Sept 2019 atas dakwaan blogger itu, memperoleh penghakiman ingkar pada 28 Feb lalu selepas Raja Petra tidak menentang saman itu.
Guan Eng menuntut ganti rugi teladan, permohonan maaf di muka depan dan perintah injunksi bagi menghalang blogger itu mengulangi dakwaannya.
Baru-baru ini, SPRM menyambung semula siasatan ke atas projek terowong dasar laut itu dengan pegawai agensi anti-rasuah menyerbu 3 syarikat semalam, susulan penahanan seorang bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Projek terowong dasar laut dan 3 lebuh raya utama bernilai RM6.3 bilion itu yang dicadangkan kerajaan Pulau Pinang bertujuan mengurangkan lalu lintas di jambatan pertama.
Pembinaan terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, dijadualkan bermula 2023.
Tiga lebuh raya utama itu dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan Jalan Pangkor ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).


No comments: