Pembangkang akan kehilangan sokongan penyokong tegarnya jika Anwar Ibrahim memutuskan untuk menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin, kata penganalisis.
Mengulas dakwaan yang Anwar bersedia menyingkirkan sekutu Pakatan Harapan dalam usahanya menjadi perdana menteri dengan membuat pakatan dengan Muhyiddin, penganalisis berkata sangat tidak masuk akal jika PKR mahu bergabung atau menyokong kerajaan Perikatan Nasional sekarang.
Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya memberitahu The Malaysian Insight yang PH dan PKR akan kehilangan sokongan penyokong tegarnya jika mereka menyokong Muhyiddin selepas “tragedi rampasan kuasa” Februari lalu.
Awang Azman berkata walaupun kerajaan PN melakukan kerja baik dalam usaha mengekang wabak Covid-19, penyokong pembangkang masih menyalahkan Muhyiddin dan bekas orang kuat PKR, Azmin Ali, kerana tumbangnya kerajaan PH.
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu itu menambah, ia juga tidak masuk akal kerana gabungan itu sukar dibayangkan.
“Adakah Muhyiddin akan turun (sebagai PM) untuk Anwar? Atau dia akan ganti Azmin dengan Anwar dan ahli PKR lain?
“Muhyiddin akan mahu terus jadi perdana menteri dan pada masa sama mengukuhkan kedudukannya,” kata Awang Azman lagi.
Selasa lalu, Anwar menafikan tuduhan beliau sedang berpakat dengan Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin untuk menyokong kerajaan semasa.
Walaupun Anwar tidak bercakap mengenai khabar angin itu secara berterus terang, wujud dakwaan yang beliau akan menyokong Muhyiddin jika ada undi tidak percaya dibentangkan di Parlimen pada sidang 13 Julai ini.
Pensyarah sains politik Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali juga percaya yang gabungan Muhyiddin-Anwar sukar termeterai.
“Walaupun imej Muhyiddin sangat positif kerana dasar mesra rakyat dan insentif diberikan kerajaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, imejnya dicemari dakwaan yang dia membeli sokongan ahli Parlimen dengan lantikan dalam GLC.
“Dan walaupun rakyat nampak seolah-olah tak terlalu bimbang dengan lantikan ini, selagi mana dasarnya adalah mesra rakyat, PKR akan berpecah-belah jika Anwar menyokong Muhyiddin ketika ini.”
Mazlan berkata, jika perkara itu berlaku, ia adalah perpecahan kedua dalam PKR dalam tempoh kurang enam bulan.
PKR yang menang 50 kerusi Parlimen pada PRU2018, kini hanya memiliki 38 kerusi selepas Azmin membawa bersamanya 10 wakil rakyat untuk menyertai Bersatu.
Walaupun Ahli Parlimen Selangau Baru Bian keluar bersama-sama Azmin, beliau memutuskan untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong Dr Mahathir Mohamad.
Anwar juga perlu menjustifikasikan sokongannya kepada Muhyiddin kerana ia akan menjejaskan DAP dan Amanah yang menyokong Dr Mahathir melawan Muhyiddin.
“Walaupun DAP dan Amanah masih rapat dengan Anwar, kedua-dua parti hanya akan menyokongnya jika dia dapat menjustifikasikan kenapa langkah (sokong Muhyiddin) diperlukan.”
Secara teorinya ia boleh dilakukan, tetapi sangat sukar menjadikannya satu realiti kerana kemungkinan gabungan Anwar-Muhyiddin juga akan memecahkan PN, kata Mazlan.
“Jika Anwar betul-betul sokong Muhyiddin, akan ada perpecahan dalam PN kerana sebilangan orang Umno dan kumpulan Azmin tidak akan selesa dengan Anwar.
“Anwar sokong Muhyiddin mungkin nampak bagus secara teori tetapi pengamalannya hampir mustahil tanpa sebarang perpecahan sama ada dalam PH, PKR atau PN,” kata Mazlan lagi. –
2 Julai, 2020. By Chan Kok Leong.