JIKA MUHYIDDIN KEKAL PM LAGI, APA AKAN TERJADI PADA ZAHID HAMIDI DAN NAJIB?



Walaupun belum dibincangkan secara rasmi dalam parti, UMNO pada peringkat awal ini nampaknya telah bersetuju untuk terus mengekalkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang.
Ahli MT UMNO merangkap Setiausaha Agung BN, Annuar Musa berkata, secara prinsipnya Muafakat Nasional atau MN yang menggabungkan UMNO dan Pas bersetuju untuk menamakan atau menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.
“Ini akan dibawa dalam saluran parti masing-masing.
“Di peringkat jawatankuasa bersama MN yang saya Setiausaha Agungnya, memang betul apa disebutkan oleh Presiden Pas, Hadi Awang berkenaan perkara tersebut.
“Pendirian UMNO dan Pas dalam soal ini adalah pendirian yang sama.
“Saya sahkannya,” kata Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.
Terdahulu, Hadi lebih awal menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang.
“PAS menzahirkan dukungan kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan permuafakatan politik Perikatan Nasional demi mensejahterakan negara dan rakyat.
“Pada masa yang sama, PAS menzahirkan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15,” kata Hadi melalui laman Facebooknya.
Sokongan Pas terhadap Muhyiddin tidaklah begitu memeranjatkan, tetapi pendirian UMNO tentu saja dilihat agak pelik kerana jawatan Perdana Menteri adalah kerusi yang biasa diduduki oleh UMNO sejak merdeka lagi.
Apa lagi, dalam kerajaan PN ini, UMNO dan BN mempunyai jumlah kerusi yang terbesar sekali berbanding Bersatu yang diterajui oleh Muhyiddin.
Beberapa pemimpin UMNO pula sebelum ini menegaskan, sokongan mereka kepada Muhyiddin dan PN hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan saja, manakala untuk menghadapi PRU15, UMNO hanya komited untuk bersama Pas dalam MN semata-mata.
Maksud lain daripada pendirian tersebut ialah UMNO melalui kerjasama dengan Pas mahu mengambil balik jawatan Perdana Menteri yang terlepas sejak PRU 2018 lalu.
Dalam hal ini, aoakah kenyataan Annuar Musa ini bakal menjadi pendirian rasmi UMNO?
Bagaimana pula pendirian pemimpin-pemimpin UMNO yang lain dalam soal ini?
Bersetujukah mereka untuk terus berperdana-menterikan Muhyiddin daripada Bersatu, sebuah parti serpihan UMNO sendiri?
Adakah UMNO benar-benar akan berjiwa besar untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan apakah ini juga bermakna, Bersatu akan diperuntukkan lebih banyak kerusi untuk ditandingi berbanding UMNO?
Persoalan lain, jika Muhyiddin terus jadi Perdana Menteri lagi, apa kesudahannya kepada karier politik Najib Razak dan Zahid Hamidi selepas ini? (Shahbudindotcom 02/07/2020)

No comments: