Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mengingatkan pengguna media sosial supaya mengambil sikap berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang komen di laman maya.
Tegasnya, pemilik laman media atau media sosial tidak wajar dipersalahkan sekiranya ada pengguna media sosial meninggalkan komen yang jelek di laman tersebut.
“Saya tidak ada masalah jika pihak berkuasa ingin menyiasat mana-mana pengguna media sosial yang sengaja mengapi-apikan sesuatu isu, mereka ini harus diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Mahkamah Persekutuan pagi ini bagi menunjukkan solidariti kepada Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan yang berdepan prosiding penghinaan berhubung komen pengguna media sosial mengenai kehakiman.
Tegas Nie Ching, prosiding tersebut memberi implikasi yang besar kepada media dan pengguna media.
Sementara itu, Steven berkata, Malaysiakini tidak boleh bertanggungjawab terhadap komen yang dibuat oleh pembacanya.
“Saya hanya ingin mengatakan bahawa kepantasan tindakan terhadap Malaysiakini dalam kes penghinaan mahkamah ini sangat cepat sehingga kami perlu bersiap sedia untuk keadaan yang terburuk. Kami berharap sesuatu yang wajar akan berlaku,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.
“Apa sahaja keputusan yang akan mereka buat akan memberi kesan besar bukan hanya kepada Malaysiakini tetapi juga kepada organisasi media dan berjuta-juta rakyat Malaysia yang menjadi pengguna media sosial.”