*Kenyataan Media*



Khamis, 2 Julai 2020

*Dato' Seri Anwar Ibrahim Sebagai Calon Tunggal Perdana Menteri ke-9, Minta Pengerusi PH dan MPN Negeri Sabah Nyatakan Pendirian Jelas*

Di sini saya ingin menyatakan pendirian bahawa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah secara konsisten menyokong penuh Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

AMK Sabah juga berpendirian bahawa tidak ada calon kedua atau calon lain selain Dato' Seri Anwar untuk menerajui negara setelah Pakatan Harapan Plus mengambil alih Putrajaya samada melalui sokongan di Parlimen mahupun melalui Pilihanraya Umum ke-15.

Kita konsisten dengan janji yang perlu ditunaikan selepas mendapat mandat rakyat. Selain pelaksanaan Manifesto Harapan, janji peralihan kuasa juga perlu dilakukan kerana rakyat memberikan mandat untuk janji yang diberikan Pakatan Harapan.

Tun Mahathir telah gagal melaksanakan janji bukan sahaja apa yang termaktub dalam Manifesto bahkan beliau gagal dalam melaksanakan janji peralihan kuasa.

Maka setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan, tidak ada orang lain yang lebih sesuai selain Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Dato'Seri Anwar jauh lebih baik dan jauh lebih layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan pengalaman yang cukup luas.

Kami juga meminta Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan Negeri Sabah untuk menyatakan pendirian jelas beliau menyokong Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal Perdana Menteri ke-9 tanpa ada pilihan kedua.

Ketetapan perlu dibuat segera agar akar umbi KEADILAN Sabah jelas dengan pendirian Pengerusi KEADILAN dan PH Negeri Sabah.

Kita tidak perlukan jawapan panjang dan berbelit melainkan meminta beliau menetapkan satu nama yang perlu diangkat sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus.

Kita bukan tidak menyokong anak Sabah dicalonkan sebagai Perdana Menteri tapi kita perlu nilai dari aspek keseluruhan dan siapa lebih layak. Ini soal perintah sebuah negara dan bukannya negeri.  Putrajaya memerlukan Dato Seri Anwar Ibrahim untuk menyelamatkan ekonomi negara serta melaksanakan agenda reformasi.

Dan saya yakin di bawah kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim, tanpa perlu mengangkat anak Sabah sebagai Perdana Menteri pun hak Sabah mampu dikembalikan kepada negeri di bawah bayu ini seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selaras dengan perlembagaan Parti PKR.

*Wendey Agong Bin Baruh*
_Timbalan Ketua AMK Sabah_
_Ketua Cabang KEADILAN Sipitang_


No comments: