Pencalonan Shafie: PH wajar putuskan sebelum sidang Parlimen 13 Julai



Cadangan pencalonan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri untuk mengembalikan mandat rakyat dan membolehkan Pakatan Harapan (PH) Plus membentuk semula kerajaan perlu diputuskan bersama di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Majlis Presiden PH perlu bermesyuarat dalam kadar segera sebelum persidangan Parlimen bermula pada 13 Julai 2020 bagi memutuskan cadangan itu.
“Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) menegaskan pendirian bahawa kedudukan PH perlu diperkukuhkan dan pada masa yang sama, PH juga perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional (PN).
“CEC mengambil maklum bahawa cadangan pencalonan ini adalah bersejarah kerana melibatkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur dipertimbangkan buat julung kalinya,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mengulas perkara lain, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, CEC DAP juga menyokong supaya Speaker Dewan Rakyat, Mohammad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming dikekalkan dalam jawatan mereka.
Ini selepas Ariff dilaporkan menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau dan Kor Ming ditamatkan.


No comments: