Thursday, May 21, 2020

UTUHKAH KERAJAAN MUHYIDDIN


Malek Hussein

‪Berdasarkan perkembangan sehingga hari Isnin, 18 Mei 2020, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin disebut media sebagai mempunyai sokongan 113 Ahli-Ahli Dewan Rakyat, bererti beliau berkuasa dengan majoriti tipis 2 kerusi sahaja.‬

‪Dengan lain perkataan, PM Muhyiddin boleh ditumbangkan jika hanya 2 Ahli Dewan Rakyat berpaling tadah.‬

‪Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan PM Mahathir Mohamad awalnya bermajoriti kukuh dengan sokongan 139 Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Majoritinya 28 kerusi. ‬

‪Majoriti Kerajaan Mahathir hilang apabila 32 Ahli Parlimen (PKR 11, Bersatu 21) mengkhianati Pakatan Harapan(PH). Pada hari pengkhianatan itu, PM Mahathir hanya tinggal disokong oleh 107 Ahli Parlimen dan hilang majoriti.‬

‪Namun, pada waktu Muhyiddin Yassin dinamakan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri, Mahathir telah berjaya mengumpulkan sokongan 114 Ahli Parlimen secara Akuan Bersumpah. PH mempersoalkan pelantikan Muhyiddin, tetapi sudah tidak boleh membuat apa-apa kerana Muhyiddin selesai mengangkat sumpah seperti yang dinyatakan dalam Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan dan memenuhi syarat pelantikan menurut Perkara 43(6).‬

‪Selepas pengesahan jawatan PM Muhyiddin, hanya tinggal dua cara sahaja yang boleh memaksakan PM Muhyiddin meletakkan jawatan.‬

‪⚫️ Cara pertama, Dewan Rakyat meluluskan Usul Undi Tidak Percaya di bawah Perkara 43(4).‬

‪⚫️ Cara kedua, PM Muhyiddin dibuktikan tiada majoriti dalam senario Ahli-Ahli Parlimen blok Kerajaan pula berpaling tadah dari menyokongnya atau beberapa Ahli Parlimen hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1)(e).‬

‪Cara pertama sudah pun dicuba melalui Ahli Parlimen Langkawi yang mengemukakan Usul Undi Tidak Percaya yang sepatutnya dibentang, dibahas dan diundi dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas yang baru lalu. ‬

‪Namun, PM Muhyiddin berjaya mengelakkan diri dari Usul tersebut dengan menggunakan kuasanya sebagai Ketua Majlis Mesyuarat untuk memendekkan Mesyuarat daripada 15 hari kepada 1 hari dan hanya untuk melangsungkan istiadat Pembukaan Parlimen dengan penyampaian Titah Diraja sahaja.‬

‪Apapun, Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri masih boleh dibawa ke Mesyuarat Kedua yang akan bermula pada 13 Julai hingga 27 Ogos 2020.‬

‪Cara kedua, ialah dalam senario Ahli-Ahli Parlimen penyokong PM Muhyiddin berpaling tadah atau kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen.‬

‪Dikatakan kini mempunyai sokongan 113 Ahli Parlimen, Kerajaan PM Muhyiddin akan tumbang jika tidak kurang 2 Ahli Parlimen berpaling tadah.‬

‪PM Muhyiddin memimpin Kerajaan dalam “politics of convenience” bagi memboleh UMNO dan BN kembali berkuasa dengan menarik sokongan Bersatu, pengkhianat dari PKR, PAS, GPS dan beberapa parti kecil.‬

‪Oleh kerana Kerajaan tidak dimenangi dan dibentuk melalui mandat rakyat dalam pilihanraya, ia dibentuk melalui mengumpulkan sokongan dengan membahagi dan mengagihkan ‘ghanimah’ berupa jawatan dalam Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan, Agensi Kerajaan, Badan Berkanun dan Syarikat Kaitan Kerajaan (GLC).‬

‪Melalui “politics of convenience”, setakat ini PM mendapat jaminan sokongan 90 Ahli Dewan Rakyat melalui pelantikan-pelantikan berikut:-‬

‪▪️62 Ahli sebagai anggota Jemaah Menteri,‬
‪▪️24 Ahli jadi Pengerusi berbagai Agensi Kerajaan / Badan Berkanun / GLC,‬
‪▪️3 Ahli sebagai Duta Khas, dan‬
‪▪️1 Ahli menjadi Menteri Besar.‬

‪Daripada 113 Ahli Parlimen, hanya 90 Ahli sahaja dijamin memberi sokongan berikutan menikmati ‘ghanimah’ jawatan yang berdana dalam Kerajaan Muhyiddin.‬

‪23 Ahli Parlimen lagi bertaraf ‘backbenchers’ tanpa jawatan dalam Kerajaan Muhyiddin. Daripada jumlah itu, 13 adalah dari UMNO yang mana 5 daripada mereka sedang menghadapi pertuduhan berbagai kes rasuah, pengubahan wang haram dan salahguna kuasa di Mahkamah.‬

‪Percaturan kuasa Kerajaan Persekutuan akan berubah, jika:‬

‪🔴 Tidak kurang 2 Ahli Parlimen berpaling tadah, atau ‬

‪🔴 Tidak kurang 2 Ahli Parlimen disabitkan kesalahan oleh mahkamah dengan hukuman penjara tidak kurang setahun atau didenda tidak kurang dua ribu ringgit dan tidak mendapat pengampunan bebas. Mereka yang sedemikian hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen sepertimana menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.‬

‪PM Muhyiddin berada dalam kedudukan kuasa yang tersangat rapuh. Selain daripada Usul Undi Tidak Percaya di Parlimen, Kerajaan Muhyiddin akan tersingkir jika Mahkamah sabitkan kesalahan ke atas hanya dua daripada lima Ahli Parlimen UMNO yang sedang menghadapi pertuduhan.‬ Lima Ahli Parlimen UMNO itu terdiri daripada Pekan, Bagan Datuk, Putrajaya, Baling dan Kinabatangan.

‪Tidaklah hanya Pembangkang dan karenah dalaman Perikatan Nasional sahaja yang sedang menghantui PM Muhyiddin, malah mahkamah juga akan turut menghantuinya.

‪Sekian.‬

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers