Skim kawalan harga: Kerajaan PH laksana lebih baik berbanding PN


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih pantas dalam melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) berbanding Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir hari ini. 
Kerajaan PH mengumumkan skim tersebut dua minggu sebelum ketibaan Syawal pada tahun lalu, berbanding PN yang lembab dan menunggu pada penghujung Ramadan untuk berbuat demikian. 
Malah, berdasarkan SHMMP yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam, hanya 11 barangan yang dilihat tersenarai. 
Ini berbeza dengan apa yang telah dilakukan Kerajaan PH sebelum ini, di mana 27 barangan telah diletakkan di bawah senarai SHMMP. 
Malah, bahan mentah seperti ikan yang sebelum ini dilaporkan naik harga di beberapa kawasan tidak diletakkan di dalam senarai SHMMP yang dikeluarkan kerajaan PN.
Tambah buruk, Kerajaan PN juga menetapkan tempoh masa kawalan harga lebih singkat iaitu 15 hari berbanding yang dilaksanakan Kerajaan PH iaitu selama 30 hari. 
Perbandingan ini jelas membuktikan Kerajaan PH peka dan prihatin serta mendengar keluhan rakyat yang terbeban lebih-lebih ketika tiba musim perayaan yang memerlukan perbelanjaan yang banyak. 
Sebaliknya, Kerajaan PN yang terbentuk hasil ‘Langkah Sheraton’ dilihat masih terkial-kial untuk mentadbir negara dengan baik — mungkin kerana terlalu sibuk mencatur gerak politik sehingga terlupa nasib rakyat di bawah.