Pemimpin PN tenggelam dalam percaturan politik, abai kepentingan rakyat


Hari Raya Aidilfitri akan disambut umat Islam seluruh dunia dalam beberapa hari saja lagi. Namun isu kenaikan harga barang yang meruncing amat menggusarkan kerana ia memberi kesan kepada seluruh penduduk dunia, terutama sekali rakyat Malaysia.
Ada peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil laba sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula dengan menaikkan harga barang sesuka hati. 
Keadaan bertambah buruk apabila kurangnya tindakan daripada kerajaan untuk menangani masalah ini. 
Masyarakat yang tersepit dengan masalah kewangan, kehilangan pendapatan atau pekerjaan menjadi lebih tersepit lagi dalam situasi ini.
Pada bulan Mac lagi, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Jacob George telah menggesa kerajaan membuat pemantauan dan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan tindakan yang akan diambil terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barang.
KPDNHEP kemudiannya memaklumkan bahawa siasatan dan operasi akan dijalankan. 
Malah peniaga yang tidak bertanggungjawab akan dikenakan tindakan berdasarkan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011.
Namun, pada awal bulan Mei Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan pula melaporkan bahawa terdapat 300 aduan berkenaan harga barangan yang dijual pada harga lebih tinggi. 
Berdasarkan laporan ini, harga barang meningkat hingga 20 ke 30 peratus sepanjang tempoh PKP.
Siasatan dan operasi yang diambil pihak kerajaan dilihat gagal membendung peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab ini. 
Malah, tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan agak telat apabila rakyat telah beberapa bulan membeli barangan keperluan dengan harga barangan yang lebih tinggi daripada kebiasaannya.
Sepatutnya, kerajaan bertindak pantas dan mengambil langkah proaktif selepas menerima aduan daripada pelbagai pihak, seawal PKP dilaksanakan lagi. 
Sepertimana kerajaan hari ini ‘bijak’ mencatur langkah politik lalu menjadi kerajaan tanpa mandat rakyat, begitulah kebijaksanaan yang diperlukan supaya pihak kerajaan lebih serius untuk membela nasib rakyat dalam situasi pandemik ini.